Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 18, 2015

BELI FOTO LAMA SAMSENG CUMA RM8 KINI HARGA RM21 JUTA




Washington – Tahun 2010, seorang lelaki berasal dari California, Amerika Syarikat (AS), bernama Randy Guijarro membeli selembar foto usang di sebuah pasar lambak dengan harga hanya AS$2 (kira-kira RM8.40).

Siapa sangka, foto lusuh jenis tintype berkenaan ternyata menggambarkan susuk tubuh Billy the Kid, nama gelaran penyamun zaman koboi AS yang terkenal bermaharajalela ketika era yang dikenali sebagai Wild West itu.

Kini, nilainya ditaksir berjaya mencapai harga AS$5 juta (kira-kira RM20.9 juta) oleh sebuah gedung lelongan terkenal gambar lama, Kagin’s di sini setelah menyelidik dengan teliti nilai sebenar keaslian foto tersebut.


Malah media tempatan melaporkan Kagin’s terpaksa memerlukan tempoh masa setahun untuk mengesahkan ketulenan foto berkenaan termasuk menjejaki semula lokasi Billy atau nama sebenarnya, Henry McCarty.

Ini turut melibatkan usaha mengesan kembali tempat kegiatan samseng Billy yang berasal dari New York City sebelum menjadi penyamun ternama di sekitar Chaves County, negeri New Mexico, AS pada kurun ke-19 lalu.

“Kami harus benar-benar yakin soal di mana, bila, bagaimana dan mengapa foto tersebut dirakamkan. Sekadar wajah mirip Billy sahaja tidak cukup untuk kes berat semacam ini,” jelas David McCarthy dari Kagin’s.

Akhirnya dirumuskan bahawa foto itu betul-betul asli. Ia menunjukkan Billy sedang bermain kriket bersama-sama dengan rakan-rakan, ahli keluarga dan anggota kumpulannya iaitu The Regulators, pada musim panas tahun 1878.


Ia dipercayai berjaya dirakamkan selepas sebuah majlis perkahwinan yang dihadiri oleh Billy dan ini merupakan salah satu daripada hanya dua foto nadir yang diketahui mengabadikan wajah sebenar penyamun legenda itu.

Sebelum ini ada sekeping foto lama memaparkan Billy senyum berdiri memegang senapang dan ia dibeli hartawan, Bill Koch menerusi acara lelongan gedung Old West Auction pada 2011 dengan harga AS$2.3 juta (RM9.6 juta).


Billy the Kid merupakan tokoh samseng terkenal yang mati muda pada 1881 dalam usia 21 tahun. Hidupnya yang singkat itu dipenuhi dengan kejahatan pelbagai kes pencurian dan pembunuhan era koboi abad ke-19 di AS.

0 comments:

share2