Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 23, 2015

SAMA-SAMA MENJIWAI HARI ARAFAH


Arafah


Ketika menulis artikel ini, penulis baru sahaja selesai membantu menyempurnakan urusan pengebumian dua jenazah mangsa runtuhan kren di Masjidil Haram. Jenazah dua sahabat baik, Shahidan Saad dan Abdul Habib Lahman telah disembahyangkan di Masjid al-Haram oleh jutaan manusia kebanyakannya adalah jemaah haji dari seluruh pelosok dunia, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syuhada’ Mu’aisim.

Alhamdulillah, dengan pengebumian ini yang dapat disempurnakan sebelum wuquf di Arafah, maka selesailah sudah penantian penemuan dua mereka yang hilang sebelum ini. Ia juga merupakan suatu yang amat berharga dalam hidup penulis kerana diberi kesempatan untuk melihat sendiri cara pengebumian di tanah suci ini. Moga-moga semua jemaah haji kita dapat menumpukan perhatian mereka kepada wuquf di Arafah yang jatuh pada hari Rabu ini.

Berbalik kita kepada perlaksanaan wuquf di Arafah. Wuquf merupakan rukun haji paling penting, yang membezakan di antara haji dan umrah. Inilah kemuncak ibadah haji, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Haji itu adalah wuquf di Arafah”. Hadis sahih riwayat at-Tirmizi, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah.

Hari Arafah merupakan hari yang terbaik dan juga merupakan salah satu dari hari-hari sepuluh yang paling disukai ALLAH untuk melakukan amalan soleh, seperti yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya: “Tiadalah hari untuk beramal soleh yang paling disukai ALLAH dari hari-hari ini, iaitu hari-hari sepuluh (awal Zulhijah)”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bukan jihad di jalan ALLAH?” Baginda menjawab: “Jihad di jalan ALLAH juga tidak dapat mengatasinya, kecuali seseorang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak pulang membawa sedikit pun dari jiwa dan hartanya itu (iaitu menemui syahid).” Hadis sahih riwayat Imam Bukhari.

Inilah juga hari di mana ALLAH membebaskan hamba-hamba-Nya dari api neraka, dan ALLAH membangga-banggakan mereka yang hadir di Padang Arafah ini di hadapan para malaikat. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada satu hari di mana pada hari itu ALLAH paling banyak membebaskan hamba-Nya dari api neraka selain dari hari Arafah. Sesungguhnya Dia amat dekat (dengan mereka pada hari itu) kemudian Dia membangga-banggakan mereka di hadapan para malaikat, kemudian Dia berfirman: “Apa yang mereka inginkan?”. Hadis sahih riwayat Imam Muslim.

Pada hari perhimpunan manusia yang begitu ramai ini juga, ia sudah pasti mengingatkan mereka yang hadir di padang Arafah ini kepada suatu perkara yang amat agung dan besar, iaitu perhimpunan terbesar manusia di padang mahsyar di akhirat kelak, seperti firman-Nya dalam Surah Hud :103: “Sesungguhnya pada kejadian yang demikian, ada tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi orang yang takut kepada azab akhirat, iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk”.

Di hari Arafah ini juga, menjulangnya semangat ukhuwah Islamiah dan penyatuan umat Islam seluruh dunia tanpa mengenal sempadan, bangsa, bahasa, warna kulit, antara tuan dan hamba, tua dan muda, kaya dan miskin, antara kuat dan lemah, raja dan rakyat, mulia atau hina.

Di tempat ini, ALLAH mengajar kepada manusia satu pelajaran dan hikmah yang besar amat maknanya iaitu tentang kebersamaan dan persamaan, di mana semua jemaah haji menuju kepada Tuhan yang satu, kiblat yang satu, Nabi yang satu, kitab yang satu, ibadah yang sama, solat pada waktu sama, berjemaah dengan imam yang satu, wuquf pada hari, waktu dan tempat yang sama, melontar jamrah dengan peraturan yang sama, berpakaian ihram sama warna, bahkan bertalbiah dengan laungan sama.

Inilah hari di antara hari-hari terbaik untuk kita berdoa kepada ALLAH. Baginda SAW bersabda: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan yang pernah aku dan nabi-nabi sebelumku adalah (kata-kata) tiada Tuhan melainkan ALLAH, Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya pemerintahan (yang hakiki) dan bagi-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu”. Hadis hasan riwayat at-Tirmizi.

Bahkan berdoa pada hari Arafah ini juga bukan sahaja digalakkan kepada jemaah haji, tetapi juga disunatkan kepada umat Islam di seluruh dunia, walaupun tidak berada di padang Arafah bermula dengan tergelincir matahari di bumi Arafah sehinggalah terbenam matahari 9 Zulhijah.

Malah bagi mereka yang tidak mengerjakan haji, disunat untuk berpuasa sunat pada hari ini dan ganjarannya amatlah besar: “Berpuasa pada hari Arafah, aku berharap kepada ALLAH agar dia menghapuskan (dosa-dosa kecil) setahun sebelumnya dan setahun selepasnya”. - riwayat Imam Muslim

Moga-moga dengan perhimpunan sebegini akan menambahkan lagi keimanan kita, menguatkan lagi hubungan kita dengan ALLAH, serta menjadikan hati kita tunduk merendah diri kepada Tuhan yang menguasai alam ini dan menguasai hari pembalasan kelak.

0 comments:

share2