Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 30, 2015

[ROMPIN] WANG TABUNG DERMA BERGERAK LESAP


Wang tabung derma bergerak lesap


Empat peti derma bergerak Masjid Al-Hikmah Bandar Lama Kuala Rompin yang berisi wang sumbangan jemaah pada solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha minggu lalu lesap selepas bilik imam 1 masjid berkenaan dipecah masuk seorang lelaki.

Imam 1 Masjid Al-Hikmah Bandar Lama Kuala Rompin, Sulaiman Ismail, berkata, kejadian berkenaan disedarinya ketika ke masjid sekitar jam 1 petang semalam (kelmarin) untuk menunaikan solat Zohor berjemaah.

“Sampai sahaja di masjid, saya hendak masuk ke bilik lalu lihat tombol pintu telah rosak namun pintu dalam keadaan tertutup rapat. Saya masuk ke dalam dan mendapati keempat-empat peti derma terbuka manakala wang dalamnya lesap.

“Saya tak pasti jumlah wang yang ada dalam peti derma berkenaan kerana ia belum dikira. Jumlahnya mungkin agak banyak sebab ia derma terkumpul sumbangan jemaah ketika solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha minggu lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Sulaiman, suspek telah menyelongkar laci mejanya dan terjumpa kunci peti derma berkenaan dan dengan mudah suspek membuka keempat peti derma itu.

Bagaimanapun, imej suspek yang memecah masuk bilik imam 1 itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan rakamannya telah diserah kepada pihak polis selepas satu laporan dibuat berkaitan kes berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah yang dihubungi mengesahkan, telah menerima laporan berkaitan kes berkenaan dan suspek juga telah dikenal pasti yang dipercayai orang tempatan.

“Kita telah menjalankan siasatan berdasarkan rakaman CCTV yang berjaya merakam imej suspek. Lelaki itu telah dikenal pasti dan dipercayai orang tempatan manakala polis kini giat menjejaki suspek.

“Jika sesiapa mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan suspek seperti yang dipaparkan dalam rakaman CCTV itu diminta menghubungi pihak polis menerusi talian 09-4145222 supaya suspek dapat diberkas,” katanya.

0 comments:

share2