Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 27, 2015

[KUALA LIPIS] DETIK CEMAS 15 MINIT


Detik cemas 15 minit 29


Ribut dan hujan lebat yang melanda Kampung Lubuk Kulit di sini kira-kira jam 5.45 petang kelmarin menyebabkan 29 rumah mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung selain atap zink diterbangkan angin.

Kejadian yang mengemparkan penduduk yang ketika itu sedang berehat berlaku kira-kira 15 minit turut merosakkan atap Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kulit termasuk parkir kenderaan guru berkenaan.

Ribut tersebut juga menumbangkan banyak pokok teduhan dan buah-buahan sehingga menghempap dua kereta penduduk yang diparkir berdekatan kediaman. 

Selain itu, kepingan atap zink tercabut dari bumbung turut diterbangkan angin sejauh 12 meter, manakala pokok tumbang turut melintang jalan raya dari Lipis ke Kampung Beletik dan perkampungan Orang Asli Sungai Padi melalui kampung berkenaan. 

Bumbung, atap zink diterbang angin

Selepas menerima laporan, anggota Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari bandar Kuala Lipis bergegas ke Kampung Lubuk Kulit untuk memberi bantuan kecemasan sehingga keadaan pulih. 

Ketua Kampung Lubuk Kulit, Mazlan Jali, berkata, ketika tiba di rumah dari bandar Kuala Lipis pada jam 5.40 petang, hujan mula turun dan angin bertiup kencang dan disusuli bunyi yang kuat pokok tumbang di beberapa tempat.

“Saya melihat ada penduduk yang bergegas keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri dan beberapa batang pokok tumbang termasuk dahan melintang jalan raya masuk ke kampung ini.

“Inilah kejadian yang agak dahsyat dalam tempoh sedekad lalu membabitkan 28 rumah yang rosak di bahagian bumbung dan atap zink diterbangkan angin, manakala sebuah rumah kayu milik penduduk di sini mengalami kerosakan teruk,” katanya. 

Mangsa ribut, Abdul Hassim Mohamad, 69, berkata, keretanya yang diparkir berdekatan rumah juga mengalami kerosakan teruk apabila dihempap sebatang pokok buah-buahan.

“Ketika ribut, saya dan ahli keluarga berada dalam rumah dan apabila keadaan reda saya mendapati banyak pokok tumbang di luar termasuk menghempap kereta,” katanya.

Menurut Abdul Hassim, kebanyakan kediaman penduduk di situ mengalami kerosakan di bahagian bumbung dan atap zink melibatkan belanja membaik pulih antara RM500 hingga RM1,000.

Lega tiada mangsa cedera

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang melawat ke Kampung Lubuk Kulit, selepas kejadian itu bersyukur kerana malapetaka itu tidak membabitkan kecederaan dan kehilangan nyawa. 

“Kerajaan negeri akan memikirkan kaedah tertentu untuk memberi bantuan bagi membaik pulih kerosakan kediaman mangsa (penduduk) dengan segera agar mereka kembali hidup selesa. Buat permulaan, saya menyumbangkan sebanyak RM2,000 untuk membaik pulih kediaman yang teruk dilanda ribut. 

“Ketua Kampung dan agensi kerajaan di sini akan menilai jumlah keseluruhan kerosakan 29 kediaman penduduk di sini untuk diberi bantuan pemulihan seterusnya termasuk utiliti lain yang perlu dibaiki,” katanya selepas melawat mangsa ribut, di Kampung Lubuk Kulit, di sini malam kelmarin.

Menurutnya, mangsa ribut yang mengalami kesulitan selepas kejadian itu diminta menghubungi ketua kampung dan pejabat khidmat masyarakat Dun Jelai untuk menyelesaikan masalah kebajikan masing-masing.

0 comments:

share2