Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 22, 2015

BOMOH PARAH DILIBAS


tetak


Kuala Terengganu - Akibat terlalu mudah percayakan lakonan empat lelaki yang berpura-pura mahu berubat dengannya, seorang bomoh parah dilibas sebilah parang sebelum disamun, dalam satu kejadian di sebuah flat, di Kuala Ibai, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian lebih kurang jam 11.45 malam itu, lelaki berusia 39 tahun dikatakan sedang berehat di rumah sebelum dikejutkan dengan kedatangan empat lelaki tidak dikenali memaklumkan mahu berubat dengannya.

Menurut sumber, mangsa yang langsung tidak mensyaki apa-apa terus mempelawa keempat-empat suspek itu masuk ke dalam rumah.

Bagaimanapun, jelas sumber, sebaik mangsa berpaling ke belakang untuk ambil peralatan perubatan, mukanya terus ditutup dengan kain manakala tangan diikat guna kabel komputer riba miliknya yang ada berhampiran.

“Salah seorang suspek kemudiannya buka kain yang tutup muka mangsa dan paksa mangsa menunjukkan lokasi peti besi di dalam rumah tersebut serta meminta mangsa membukakan peti besi itu.

“Mangsa memberanikan diri memberi alasan tidak ingat di mana dia menyimpan kunci itu dan meminta suspek mencarinya sendiri di dalam rumah.

“Ketika suspek sedang asyik mencari kunci itulah, mangsa berjaya membuka ikatan tali yang mengikat tangannya itu sebelum berlaku pergelutan antara mereka,” katanya.

Kata sumber lagi, dalam pergelutan itu mangsa terkena libasan parang yang dipegang oleh salah seorang suspek di kepalanya sehingga menyebabkan mangsa terpaksa menerima 10 jahitan.

Katanya, suspek berjaya melarikan rantai dan gelang emas dipakai mangsa sebelum melarikan diri.

“Sejurus suspek beredar, mangsa menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan dan dibawa ke Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

“Akibat libasan itu, mangsa menerima 10 jahitan di kepala dan terpaksa menanggung kerugian lebih kurang RM1,400,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Katanya, siasatan lanjut dan gerakan memburu suspek kini giat dijalankan dan kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan ketika melakukan rompakan.

0 comments:

share2