Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 6, 2015

PINDAAN AKM AMBIL KIRA PERUBAHAN 17 TAHUN LALU


SKMM


Putrajaya - Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 perlu mengambil kira keadaan persekitaran dalam talian yang sudah berubah sepanjang tempoh 17 tahun lalu termasuk kemunculan media sosial, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Seri Dr Halim Shafie.

Beliau berkata, untuk menangani masalah yang timbul kesan daripada kewujudan media sosial, klasifikasi hukuman dalam AKM serta penerangan jelas berhubung tindakan penguatkuasaan adalah perlu.

Pada masa sama, katanya, pindaan juga perlu mempertimbangkan trend bahawa pengguna maklumat di media sosial juga adalah pihak yang menerbitkan kandungan tersebut.

"Sesetengah peruntukan dalam AKM perlu dipinda bagi memperkasa peranan penguatkuasaan SKMM.

"Sebagai contoh, penalti untuk kesalahan-kesalahan perlu diteliti semula bagi memastikan AKM dilihat lebih berkesan sebagai satu langkah pencegahan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Halim berkata, kajian semula AKM bukan hanya berkisar kepada usaha memperkukuh keupayaan penguatkuasaan SKMM, malah terdapat banyak lagi bahagian dalam akta berkenaan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang turut dikaji.

"Kajian semula ke atas kedua-dua akta ini diharap akan mewujudkan suasana persekitaran yang sihat dan kondusif kepada pengguna untuk menggunakan Internet secara positif.

"Pada masa sama menghalang pengguna menggunakan internet untuk mencetuskan kebimbangan dan ketidakstabilan kepada negara," kata Halim, sambil menambah SKMM komited untuk memperhebat penguatkuasaan terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

Menjelas lanjut, Halim berkata pihak SKMM akan meneruskan usaha memperhebat literasi media untuk mewujudkan kesedaran dan mendidik pengguna menggunakan Internet secara positif.

Beliau berkata menyekat akses kepada kandungan dalam Internet tidak semestinya menjadi jalan penyelesaian utama.

"Kita harus mengelak situasi di mana majoriti pengguna yang menggunakan internet secara bertanggungjawab menerima kesan hanya kerana perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir pengguna," katanya.

0 comments:

share2