
Kuala Lumpur - Seorang petugas taman asuhan kanak-kanak hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan memperdagangkan seorang bayi perempuan yang baru lahir, awal bulan ini.
Nik Rahimah Nik Mohd Nawi, 54, didakwa memperdagangkan bayi berusia satu hari itu bagi maksud eksploitasi.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Gombak Medical Centre, Taman Sri Gombak, Batu Caves di sini mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun dan boleh juga didenda jika sabit kesalahan.
Hakim Tasnim Abu Bakar membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan keluarga mereka.
Tasnim turut memerintahkan Nik Rahimah melapor diri ke balai polis berhampiran setiap hari Sabtu minggu pertama dan ketiga setiap bulan sehingga kes selesai.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafizah Rajuni memohon mahkamah supaya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dengan alasan kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan serius selain bertentangan dengan nilai moral.
Ketika rayuan, peguam Datuk Sukri Mohamed yang mewakili tertuduh memohon supaya anak guamnya dibenarkan ikat jamin dengan alasan tiada peruntukan di bawah Atipsom 2007 yang melarang tertuduh dibenar ikat jamin.
"Tiada sebab yang diberikan untuk tidak membenarkan ikat jamin, anak guam saya telah direman selama 14 hari dan sepanjang tempoh tersebut dia telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis," katanya.
Sukri turut memberitahu mahkamah anak guamnya menanggung perbelanjaan seorang anaknya di sekolah rendah dan seorang lagi sedang menuntut di peringkat diploma.
"Selain anaknya sendiri, tertuduh dan suaminya yang bekerja sebagai peniaga pakaian turut mempunyai tiga orang anak angkat berusia 10 bulan, tujuh dan lapan tahun," katanya.
Sementara itu, Nik Rahimah turut didakwa di Mahkamah Majistret Selayang atas pertuduhan mengurus taman asuhan kanak-kanak tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan itu, Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya S. Arunjothy. Mahkamah menetapkan 18 Sept ini untuk sebutan semula kedua-dua kes.
0 comments:
Post a Comment