
Pekerja kuari batu di Muadzam Shah, di sini, yang menjalankan kerja-kerja memecahkan batu gempar apabila menemui mayat seorang lelaki Orang Asli dipercayai lemas di sebuah lombong berhampiran tempat kerja mereka, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.12 pagi itu, mangsa, Anuar Jahaya, 21, berasal dari Banting, Selangor ditemui terapung di lombong sedalam tiga meter itu oleh pekerja berkenaan yang kemudiannya melaporkan penemuan tersebut kepada pihak berkuasa.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah dikerahkan ke tempat kejadian tidak lama kemudian sebelum membawa naik mayat mangsa.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah (HMS) untuk bedah siasat dijalankan,” katanya yang dihubungi Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada beberapa orang awam untuk membantu siasatan sebelum menyerahkan kes itu kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin ketika dihubungi, di sini, mengesahkan ada menerima laporan kejadian.
“Polis mengesahkan kejadian itu tidak membabitkan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

0 comments:
Post a Comment