Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 17, 2015

[KUANTAN] MB PAHANG TERKILAN RAKYAT TIDAK PASANG BENDERA


Adnan Yaakob


Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob terkilan kerana penduduk di negeri ini tidak bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis perniagaan atau bangunan sempena Hari Kebangsaan 2015.

Beliau berkata, ramai yang memasang Jalur Gemilang di premis mereka selepas diarahkan berbuat demikian oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), selain kebanyakan kenderaan tidak lagi mengibarkan bendera kecil seperti dahulu. 

"Saya berharap jumlah mereka yang mengibar Jalur Gemilang di seluruh daerah akan terus bertambah menjelang 31 Ogos. Rakyat perlu menghayati erti kemerdekaan kerana bukan mudah untuk kita mencapainya.

"Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana negara semakin maju dan makmur. Walaupun bendera itu adalah sehelai kain, ia melambangkan negara dan identiti kita," katanya.

Adnan berkata demikian semasa melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pahang di perkarangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan di sini, semalam.

Selain itu, Adnan juga mengingatkan rakyat khususnya generasi muda supaya menanamkan sifat patriotik dalam diri mereka tanpa mengira kaum dan agama kerana masing-masing mempunyai peranan tersendiri kepada negara. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Negeri Pahang, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata pelbagai program akan diadakan sepanjang bulan kemerdekaan seperti kayuhan kemerdekaan Sehati Sejiwa, yang turut diadakan semalam, melibatkan penyertaan 200 peserta. 

Selain itu, pihaknya juga merancang untuk mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Kajang yang terletak di Pulau Tioman dan di dasar laut Pulau Tioman serta di Taman Negara.

0 comments:

share2