Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (KPC) bercadang memanfaatkan landasan kereta api lama dari Kerteh ke Pelabuhan Kuantan sebagai mod pengangkutan alternatif bagi mengangkut bauksit, sekali gus dapat mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar di negeri ini.
Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Khasbullah A Kadir berkata, laluan yang dicadangkan sejauh tujuh kilometer itu didakwa bermula dari Sungai Ular di sini sehingga ke Kampung Selamat yang bersebelahan dengan Pelabuhan Kuantan.
“Kami telah hantar proposal mengenai perkara ini kepada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan kita berharap ia dapat dipertimbangkan segera memandangkan landasan kereta api ini sudah tidak lagi digunakan.
“Laluan ini tidak melalui kawasan penempatan, dan hanya dipenuhi pokok di sepanjang laluan tersebut.
“Saya percaya ia akan menjadi zon penampan supaya debu dan pencemaran daripada operasi pengangkutan bauksit ini tidak merebak ke kawasan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan 50 trak pengangkut KPC baharu yang lebih canggih dan moden bagi memastikan operasi mengangkut bauksit di kawasan pelabuhan tidak mencemarkan persekitaran.
Trak yang diimport dari China itu menelan belanja sebanyak RM10 juta dan sebanyak 50 lagi trak sama dijangka tiba bulan depan.
Menurutnya, faktor utama pencemaran bauksit di sekitar kawasan Pelabuhan Kuantan adalah disebabkan jumlah bauksit yang perlu diuruskan KPC yang kini dianggarkan berjumlah 20 juta setahun.
Bagaimanapun beliau berkata, KPC telah membelanjakan hampir RM2 juta sebulan dalam usaha untuk mengurangkan pencemaran akibat operasi eksport bauksit di Pelabuhan Kuantan.
“Antaranya ialah penggunaan sistem conveyer tertutup untuk memindahkan bauksit dari kawasan timbunan bauksit ke kapal bagi mengurangkan penggunaan lori untuk mengangkut bauksit.
“Selain itu, kawasan timbunan bauksit pula akan dipasangkan jaring 12 meter bagi menghalang debu bauksit daripada diterbangkan keluar dari kawasan tersebut manakala timbunan bauksit yang tidak diangkut dalam jangka masa tertentu pula akan ditutup.
“Kami juga memiliki lapan unit ‘Power Sweeper’ yang beroperasi 24 jam untuk menyedut habuk dan debu bauksit pada permukaan jalan dan beberapa unit lori yang dilengkapi dengan kemudahan jet air,” katanya.
0 comments:
Post a Comment