Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 7, 2015

GADIS HILANG DIPERCAYAI DICULIK


Gadis hilang dipercayai diculik


Kota Bharu - Seorang gadis berusia 18 tahun dipercayai diculik selepas disedari keluarganya tidak pulang ke rumah petang Selasa lalu.

Mangsa, Grace Wong, yang bekerja di sebuah kilang kayu sejak dua bulan lalu sebagai kerani di Batu Jong, Kuala Krai dipercayai keluar dari rumahnya pada jam 7 pagi sebelum sampai ke tempat kerjanya pada jam 7.30 pagi.

Menurut ibunya, Lim Chiui Ean, 49, pada Selasa lalu, anak sulungnya itu keluar dari rumah lebih awal dari biasa dan sampai setengah jam awal di tempat kerjanya.

“Selalunya dia akan keluar sekitar jam 7.30 pagi dan sampai di tempat kerjanya pada jam 8 pagi, namun pada hari kejadian dia sampai setengah jam awal.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa, kerana dia berkelakuan seperti biasa dan meminta izin untuk keluar bekerja dari bapanya,” katanya.

Chiui Ean berkata, anaknya itu juga tidak pernah pulang lewat ke rumah dan akan sampai ke rumah, sekitar jam 5.15 petang selepas pulang dari kerja.

“Dia yang memandu kereta jenis Mercedes 230 Elegent bersendirian setiap hari, dan jarak dari kediaman kami ke kilang kayu terbabit tidak jauh.

“Saya mengesyaki dia diculik selepas suami pergi ke tempat kerjanya pada hari kejadian, dan menemui kereta yang dipandu anak sulung tetapi selepas memeriksa sekeliling kawasan kilang, dia tiada di kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Wong Heng Loy, 49 berkata, dia dan isteri semakin buntu apabila gagal menghubungi anaknya melalui telefon bimbit termasuk aplikasi sosial WhatsApp dan Facebook.

“Kami cuba menghubunginya, namun talian gagal dihubungi dan risau dengan keadaan itu kami buat laporan polis.

“Harapan kami supaya sesiapa yang kenal dan menjumpai mangsa dapat laporkan kepada pihak polis bagi mengesan anak saya dengan segera memandangkan saya risau jika dia dilarikan ke sempadan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

0 comments:

share2