Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 18, 2015

EMPAT RAKYAT MALAYSIA DITAHAN DI OMAN


Empat rakyat Malaysia ditahan di Oman


Kuala Terengganu – Empat rakyat Malaysia dari Terengganu yang menyertai misi bantuan kemanusiaan anjuran Yemeni Care ke Yaman pada 4 Ogos lalu, dilaporkan ditahan di pusat tahanan imigresen di Oman.

Saifullah Hasbu, Sazali Mohd Noor, Abdul Rahman Che Mat dan Syed Hussain Solahuddin Syed Hassan, ditahan pihak berkuasa Oman di sempadan Oman-Yaman pada Khamis lalu, ketika ingin meninggalkan Yaman.

Saifullah yang juga Pengarah Yemen Care berkata, pihak berkuasa tidak membenarkan mereka memasuki pintu masuk ke Oman, walaupun beliau membawa surat rasmi daripada Kedutaan Malaysia di sana.

“Pada 13 Ogos, kami ambil keputusan menamatkan misi dan berhasrat kembali ke Oman setelah kesemua amanah infak dari rakyat Malaysia diagihkan kepada penduduk Yaman.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di sempadan Yaman-Oman, perjalanan kami tersekat. Pelepasan untuk memasuki pintu Oman tidak berjaya,” katanya.

Saifullah yang dihubungi melalui aplikasi WhatsApp memberitahu, selain pasport mereka dirampas, beliau juga tidak dimaklumkan punca sebenar mereka ditahan.

Bagaimanapun katanya, mereka berempat dilayan dengan baik sepanjang berada di pusat tahanan imigresen itu walaupun tempat terbabit dikawal 24 jam oleh tentera.

“Kami sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan dan mereka kini berusaha membebaskan kami dari sini seterusnya dapat pulang ke tanah air secepat mungkin.

“Doakan agar urusan kami di sini dipermudahkan oleh ALLAH SWT. Mudah-mudahan kami diberi kekuatan untuk meneruskan misi-misi akan datang,” katanya.

0 comments:

share2