
Lumut - Panjang umur! Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ‘sangat bernasib baik’ apabila hanya mengalami luka ringan di lengan kiri meskipun terjatuh dari tingkat empat sebuah pangsapuri di Pangkalan Tentera laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.35 petang itu, mangsa dipercayai terjatuh ketika bermain berseorangan di rumah ibu bapanya sebelum tersangkut di ampaian tingkat dua dan kemudiannya terbaring atas rumput.
Mangsa ditemui penghuni tingkat bawah pangsapuri terbabit sebelum memaklumkan kepada ibu kanak-kanak tersebut yang tidak menyedari anak bongsu daripada tiga beradik itu memanjat pagar pengadang walaupun turut memerhatikan anaknya itu bermain di beranda rumah.
Kanak-kanak itu kemudiannya dihantar ke Hospital Angkatan Tentera sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Seri Manjung.
Sementara itu, bapa mangsa, ketika ditemui terkejut dengan khabar yang disampaikan isterinya terus pulang dari lokasi tugasnya di Tanjung Pengelih, Johor kira-kira jam 3.30 petang.
“Macam-macam yang saya fikirkan sebab banyak kes yang sama telah berlaku di beberapa pangsapuri di kawasan ini sehingga ada yang melibatkan korban nyawa.
“Syukur, alhamdulillah anak saya selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan. Cuma saya bimbang dia akan menerima kesan dan mengalami masalah kesihatan pada masa akan datang kerana dia terlalu kecil untuk jatuh setinggi itu,” katanya.
Dia juga bersyukur dengan tindakan pantas jiran dan Jabatan Kebajikan TLDM membantu menguruskan anaknya sehingga menerima rawatan sementara menunggu kepulangannya dari Johor.

0 comments:
Post a Comment