Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 18, 2015

TUN M BUAT SENDIRI TANGLUNG KETIKA RAYA


Tun M buat sendiri tanglung ketika raya


Siapa sangka tubuh kecil yang pernah bergelar Perdana Menteri Malaysia turut meminati lampu tanglung sejak zaman kanak-kanaknya, lebih-lebih lagi menjelang sambutan hari raya Aidilfitri. 

Itulah insan yang bernama Tun Dr Mahathir Mohamad, anak kelahiran Alor Setar, Kedah, yang akan menghasilkan sendiri tanglung untuk menghiasi rumah dengan cahaya lampu.

"Masa kecil dulu, saya buat tanglung sendiri, kita panggil dian atau lampu, rumah ada lampu, tapi nak pasang extension (penyambung wayar) susah, jadi saya buat sendiri. 

"Jadi kita raya dulu tak pergi ke mana-mana, cuma duduk di rumah saja, kita pasang tanglung saja, seronok pasal nampak lampu ada sikit," katanya kepada Sinar Online, baru-baru ini.

Dr Mahathir juga mengakui zaman kanak-kanaknya agak sukar apabila beliau hanya berpeluang pakai baju baharu setahun sekali sahaja, namun bukan dibeli dari kedai tetapi dijahit oleh keluarganya.

"Hari raya masa dulu, dapat baju baru, kita pakai sampai setahun, sampai raya lagi satu baru pakai baju lain, tak banyak baju nak beli.

"Nak buat baju kena bagi orang jahit, ataupun kakak-kakak saya cuba buat baju sendiri," ujarnya.

Beliau berkata lagi, baju warna merah merupakan baju raya pertama yang diperolehi ketika zaman kecilnya.

"Baju raya pertama saya warna merah, tahun ini saya tak tahu warna apa, kadang-kala jingga," katanya.

Ketika ditanya juadah kegemaran pada raya pertama, Dr Mahathir berkata pulut kacau atau wajid menjadi kesukaannya.

"Saya suka pulut kacau orang Kedah kata, sini orang panggil wajid, yang itu saya minat tapi saya tak boleh makan manis banyak, sebab dah tua.

"Sekarang ini yang saya minat sekali pagi raya kita makan ketupat dengan macam-macam masakan termasuk serunding dan kuah sate," kongsinya.

Sewaktu kecilnya juga selepas solat Aidilfitri, Dr Mahathir akan beraya dengan keluarga terlebih dahulu dengan amalan bersalam dan bermaaf-maafan.

"Kalau orang tua, dia akan duduk (kerusi), kita salam dekat situ, tapi di sebelah selatan, saya dapati kita tak bersembah lutut.

"Bila saya berkahwin, saya pergi sembah lutut mak mertua saya, dia hairan, kenapa saya buat macam itu, tapi di Kedah memang macam itu amalannya," tambahnya.

Katanya lagi, suasana hari raya lebih meriah apabila adik-beradik yang berada di luar kawasan balik ke kampung halaman.

"Masa saya kecil, hari raya selalu abang-abang saya yang kerja di tempat-tempat lain, semua balik.

"Dia duduk di rumah, tempat tidur tak banyak, tidur la entah mana-mana pun," katanya lagi.

0 comments:

share2