Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 25, 2015

TUISYEN PERCUMA UNTUK PELAJAR MISKIN


Tuisyen percuma untuk pelajar miskin


Kuala Lumpur – Biro Hal Ehwal Bandar Dan Perumahan (Help) Pemuda Umno dengan kerjasama Tan Sri Muhyiddin Charity Golf Foundation (TSM) menganjurkan pertandingan golf amal bagi mencari dana untuk membiayai Program Tuisyen Percuma (Help Tuisyen) khusus bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Pengerusinya, Nazir Hussin Akhtar Hussin ketika ditemui berkata, pihaknya menyeru syarikat berkaitan kerajaan, multinasional dan orang perseorangan untuk menyertai pertandingan golf amal ini yang dijadual diadakan di Kelab Golf Glenmarie, Shah Alam pada 9 Ogos depan.

“Tahun ini kita memerlukan dana sebanyak RM6 juta untuk merealisasikan program Help Tuisyen yang memasuki tahun kedua penganjurannya pada kali ini. Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang juga merupakan pembiaya program ini menyumbang sebanyak RM2 juta dan kita memerlukan baki peruntukan berjumlah RM4 juta lagi,” katanya.

“Sebagai tambahan, syarikat yang menyumbang juga akan diberi pengecualian cukai. Penyumbang tertinggi juga berpeluang bermain bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin yang akan turut serta pada hari itu.

“Syarikat yang berminat bolehlah berhubung dengan sekretariat di talian 03-78034432 atau Ros (019-926 5438) atau Athirah (017-603 1850),” katanya kepada Sinar Harian.

Pada tahun lalu, katanya, Biro Help Pemuda Umno berjaya mengadakan program tuisyen ini dengan membantu seramai 4,400 pelajar SPM yang kurang berkemampuan.

Menurut beliau, program tuisyen percuma itu akan ditumpukan khususnya kepada pelajar yang mempunyai tahap pencapaian akademik yang sederhana dan dari keluarga yang kurang berkemampuan berikutan peningkatan kos sara hidup pada hari ini

"Dengan program ini, kita dapat bantu mereka untuk bina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Jelas beliau lagi bagi tahun 2015, program tuisyen percuma yang mendapat kerjasama Yayasan Pelajaran Mara (YPM) ini diperluaskan kepada 100 buah kawasan Parlimen, telah bermula sejak 1 Jun lalu dan akan berterusan sehinggalah kepada peperiksaan SPM.

Nazir Hussin berkata, berdasarkan kaji selidik yang dilakukan, ramai ibu bapa tidak mampu menghantar anak mereka yang akan menghadapi peperiksaan SPM ke pusat tuisyen.

“Kos untuk satu subjek paling murah RM60. Kalau sudah lima subjek, mereka perlu bayar RM300. Jadi kita cuba bantu mereka dengan beri tuisyen percuma supaya anak mereka dapat pendidikan tambahan yang lebih baik,” katanya.

Malah, beliau berkata, program tersebut juga dapat menyuntik semangat pelajar-pelajar tersebut untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sekaligus boleh mengubah nasib keluarga mereka.

“Sekiranya diberi peluang pendidikan tambahan melalui usaha ini mampu memberikan mereka keputusan yang lebih baik.

"Jika pendidikan tambahan tidak diberikan kepada golongan ini, mereka tak layak masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi kerana keputusan yang kurang baik. Persaingan di luar sana makin sengit, jadi kami bimbang mereka akan terpinggir daripada arus kemajuan negara.

“Ada anak-anak golongan kurang mampuan ini mempunyai otak yang baik tetapi tidak mampu melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi kerana beban kewangan. Sebahagiannya terpaksa bekerja sambilan selepas waktu sekolah untuk mendapatkan duit.

“Bila ke sekolah mereka tidak boleh fokus pada pelajaran kerana terlalu penat dan mengantuk. Tetapi untuk ambil tuisyen mereka tak ada duit sebab keluarga tidak ada wang. Kita perlu bantu golongan ini bagi melahirkan modal insan kerana kelak mereka juga akan boleh membantu membangunkan agama, bangsa dan negara.

“Kami beri tumpuan pada pelajar miskin yang mempunyai prestasi sederhana dalam pelajaran supaya mereka dapat skor dalam SPM nanti. Kami mahu mereka dapat pendidikan yang terbaik dan berjaya memasuki IPT, seterusnya membantu keluarga apabila berjaya nanti,” katanya.

0 comments:

share2