KUALA LUMPUR – Sebelum ini heboh portal propembangkang membuat cerita kononnya ramai pemimpin BN termasuk Perdana Menteri akan ‘lari’ ke luar negara susulan isu ‘panas’ 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Malah ramai penyokong mereka percaya bulat-bulat berita tersebut kononnya beberapa menteri yang disyaki korup cuba meloloskan diri ke negara asing terutama selepas terbongkar kes penyelewengan hartanah Mara.
Hakikatnya sejarah membuktikan belum pernah ada yang berbuat demikian walaupun nama mereka ‘busuk’ terpalit skandal rasuah seperti Tun Daim Zainuddin, Tun Ling Liong Sik atau Tan Sri Kasitah Gaddam.
Waima Tun Dr. Mahathir Mohamad yang amat kritikal sebelum ini kecoh heboh dilaporkan portal berita tertentu bahawa beliau ada kekayaan luar biasa pun masih lagi patriotik dan setia berada di Malaysia sepanjang masa.
Ironi ibarat paku dulang paku serpih, kata orang tapi dia lebih; sejarah mendedahkan ramai tokoh pembangkang kelam-kabut ke luar negara bahkan ada sampai meminta perlindungan diplomatik di kedutaan asing di ibu negara.
Terbaharu pada Rabu, seluruh negara gempar apabila portal propembangkang melaporkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dihalang ke luar negara oleh pegawai Jabatan Imigresen Malaysia di KLIA, Sepang, Selangor.
Pua dilaporkan sudah tahu mengenai halangan tersebut ketika hendak ke Indonesia tetapi ceritanya disensasikan dan diputar belit kononnya pegawai Imigresen yang menyekat beliau menerima ‘arahan’ daripada pihak atasan.
Memanglah secara logik semua pegawai Imigresen di pintu keluar masuk negara kita akan sentiasa dikemas kini maklumat terkini individu yang dihalang ke luar negara dan isu ini bukan kisah baharu pun sejak dahulu lagi.
Sebelum ini pun pernah kecoh cerita seorang berprofil tinggi disekat keluar di KLIA kerana ada hutang PTPTN selain ramai ‘kantoi’ apabila nama disenarai hitam sebab kes muflis, perintah mahkamah dan macam-macam lagi.
Nyatalah portal propembangkang cuba alih isu dan mengaitkan perkara itu susulan kelantangan mereka konon hero yang berjaya membongkar skandal 1MDB tetapi kemudian terbukti adalah rekaan dan berbaur fitnah.
Selepas pemimpin DAP itu, rakan duonya dalam kempen ‘jerayawara’ hentam 1MDB, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli lewat Rabu turut ‘bising’ apabila semakan namanya mendapati dia juga disenarai hitam pihak Imigresen.
Bagi yang mengikuti perkembangan isu 1MDB, pasti tertanya-tanya kenapa Ahli Parlimen Pandan itu tiba-tiba semak nama menerusi laman web Imigresen kecuali dia sendiri berasa ‘takut’ dirinya ada kaitan dengan Pua.
Sementelahan Rafizi dan Pua paling menonjol menghentam kerajaan dalam isu tersebut, jadi memang wajarlah mereka berdua lebih ‘kecut perut’, manakala pemimpin pembangkang lain yang kurang sensasi tidak pula risau.
Namun, bagi menunjukkan konon kerajaan sekarang zalim, pagi Khamis, peguam terkenal pembangkang, Latheefa Koya cuba memperbesar-besarkan perkara sekatan Imigresen itu dengan kaitkan ramai aktivis pembangkang.
Antaranya Naib Presiden PKR, Tian Chua; peguam kontroversi, Ambiga Sreenevasan; pemimpin gerakan Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan aktivis pembangkang Adam Adli. Setakat ini belum dapat dipastikan apa sebabnya.
Lucunya, Latheefa mendakwa beliau hanya dimaklumkan mengenai perkara itu setelah pihaknya buat semakan dengan memasukkan maklumat butiran kad pengenalan mereka menerusi laman web Jabatan Imigresen.
Bagaimanapun melihat kepada cara pembangkang mengeksploitasi isu sekatan Imigresen itu seolah-olah cuba memburuk-burukkan imej pihak berkuasa kononnya bimbang rakyat Malaysia bangkit menggulingkan kerajaan.
Apa tidak diceritakan kenapa tiba-tiba boleh tergerak hati semak nama dengan pihak Imigresen semalam padahal apabila isu 1MDB ‘meletup’ awal Januari lalu, tiada siapa pun mahu periksa nama melalui laman jabatan itu.
Juga jika selama ini pembangkang galak hasut rakyat konon pemimpin kerajaan takut skandal terbongkar akan lari ke luar negara, kenapa alasan yang sama tidak diguna pakai terhadap diri mereka sendiri?
0 comments:
Post a Comment