Alor Setar - Tindakan licik seorang lelaki menyembunyikan 57.9 kilogram (kg) daun ketum pada beberapa bahagian dinding dalam kereta untuk diseludup ke Thailand terbongkar apabila ditahan petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, warga Thailand itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan unit K-9 di Pos A Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam kira-kira jam 5.30 petang.
Menurutnya, lelaki itu ditahan sewaktu memandu kereta jenis Toyota Wish menghala masuk ke Thailand.
"Ketika pemeriksaan badan dilakukan ke atasnya tidak menjumpai apa-apa barang salah.
"Namun sewaktu pemeriksaan lanjut dijalankan ke atas kereta dengan disaksikan suspek, menemui beberapa bungkusan plastik lutsinar berisi daun disyaki daun ketum pada bahagian ruang kanan serta kiri pintu termasuk bahagian belakang," katanya kepada media di sini, semalam.
Beliau berkata, barang kes dirampas dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu.
"Siasatan awal mendapati barang itu dibeli daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai 'Mat' dari Kuala Nerang dengan harga RM30 satu kg.
"Suspek direman bermula hari ini (semalam)," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.
0 comments:
Post a Comment