Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 26, 2015

PENIAGA BESI BURUK TERLEPAS HUKUMAN GANTUNG


Mahkamah


Alor Setar - Seorang peniaga besi buruk terlepas daripada hukuman mati mandatori selepas Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, tiga tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hashim Hamzah mendapati R. Krishnan, 34, dari Sungai Petani tidak bersalah selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Bagi pertuduhan pertama dia didakwa mengedar 103 gram heroin dan 16.2 gram morfin di rumah beralamat No. A172 Kampung Sg Division, Sungai Petani, kira-kira pukul 10.15 malam, 20 November 2012. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dia didakwa memiliki methamphetamine seberat 19.27 gram di tempat dan masa yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(1) akta yang sama. 

Hashim di dalam penghakimannya di akhir kes pendakwaan berkata, terdapat percanggahan antara saksi pendakwaan sendiri berkenaan lokasi tertuduh ditangkap. 

Krishnan, yang juga ayah kepada tiga anak lelaki berusia empat hingga tujuh tahun itu cukup gembira dengan keputusan itu dan berhasrat untuk kembali mengusahakan perniagaan besi buruk yang diuruskan adik iparnya sepanjang ketiadaannya. 

Tertuduh diwakili peguam Datuk Naran Singh, manakala pendakwaan diwakili Mohamad Rizal Fadzil.

0 comments:

share2