Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 8, 2015

MYDIN, KR1M BUKA KAUNTER UNTUK UMAT ISLAM BERWAKAF


Mas Ermieyati Samsudin


Kuala Lumpur - Umat Islam kini berpeluang melakukan amalan wakaf dengan cara membeli tanah tapak University College Bestari, Setiu, Terengganu di rangkaian pasar raya Mydin dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di seluruh negara.

Orang ramai boleh membeli (mewakafkan) tanah tapak universiti itu pada kadar serendah RM30 untuk tanah seluas 0.1 meter persegi menerusi kaunter pasar raya Mydin dan KR1M.

Hasil daripada pembelian tapak universiti itu akan digunakan bagi membiayai pembelajaran anak-anak yatim di universiti tersebut kelolaan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM).

Pelancaran Penjualan Wakaf PEYATIM di pasar raya Mydin Subang Jaya semalam dirasmikan Ketua Puteri Umno Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, dan disaksikan Pengarah Urusan Mydin Holdings Sdn Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin di sini.

Mas Ermieyati berkata, skim itu memudahkan umat Islam dari setiap lapisan masyarakat untuk bersedekah dan juga membantu anak-anak yatim di negara ini memperbaiki kehidupan mereka melalui pendidikan tinggi.

"Universiti College Bestari adalah universiti wakaf pertama di Malaysia hasil sumbangan orang ramai bagi membiayai pembelajaran anak-anak yatim.

"Usaha murni ini dapat merubah nasib anak-anak yatim agar tidak terpinggir daripada masyarakat dan mampu membesarkan jiwa mereka untuk berjaya," kata Mas Ermieyati.

Ditubuhkan pada 1998, University College Bestari merupakan sebuah institusi pengajian tinggi swasta pertama yang berusaha memartabatkan anak-anak yatim dan miskin yang berkemampuan dalam bidang akademik untuk mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Pada majlis berkenaan, Mas Ermieyati yang juga anggota Parlimen Masjid Tanah turut memberikan sumbangan raya kepada anak-anak yatim Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong dan berbuka puasa bersama mereka.

0 comments:

share2