Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 17, 2015

MH17: HENTI SEBAR SPEKULASI TIDAK BERASAS


MH17


Putrajaya - Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa orang ramai berhenti daripada membuat spekulasi tidak berasas dan menyebar khabar angin tentang tragedi melibatkan Penerbangan MH17 Malaysia Airlines (MAS) kerana katanya, ia boleh menyinggung perasaan keluarga mangsa.

"Laporan jawatankuasa siasatan mengenai kejadian itu akan siap Oktober ini. Jadi, untuk sementara waktu ini, saya menggesa orang ramai, yang menyebarkan khabar angin tentang tragedi dan siasatan itu, supaya berhenti berbuat demikian.

"Hormatilah keluarga mereka yang terkorban kerana dengan menyebarkan dakwaan tidak berasas itu, perasaan mereka akan menjadi lebih terluka," katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri, di sini hari ini.

Menjawab satu soalan, Liow berkata orang ramai tidak seharusnya menyalahkan MAS kerana bukan syarikat penerbangan itu sahaja yang mengunakan ruang udara Ukraine. 

"Pada hari sama, terdapat pesawat syarikat penerbangan lain yang menggunakanMlaluan itu lebih kurang pada waktu yang sama. Ada sebuah pesawat di hadapan dan sebuah lagi di belakangnya, manakala beberapa pesawat lagi datang dari arah bertentangan.

"Ia mendapat kelulusan pihak pengawal trafik udara dan MAS sebenarnya mematuhi prosedur yang ditetapkan," kata Liow. 

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam wawancara secara langsung dengan TV3, berkata: "Kita patut jadikan MH17 sesuatu yang tidak patut kita lupakan, terutama bagi mereka yang kehilangan orang tersayang.

"Di sebalik tragedi itu, wujud peluang untuk menyatukan rakyat Malaysia bagi membolehkan kita membangunkan negara supaya menjadi lebih kukuh."

Pada 17 Julai tahun lepas, kesemua 298 penumpang dan anak kapal - kebanyakan mereka rakyat Belanda - maut apabila pesawat jenis 777 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu, ditembak jatuh di timur Ukraine, wilayah dikuasai pemberontak, yang dilanda pertempuran sengit.

0 comments:

share2