Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 25, 2015

MENANGIS TENGOK PUSARA TERBAKAR


Menangis tengok pusara terbakar


Seremban - Seorang wanita bukan saja terkejut, malah sedih dan kecewa apabila mendapati kubur anak dan ibu saudaranya di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Haji Said, Sikamat, di sini dijadikan lokasi pembakaran sampah.

Rosiah Din, 57, berkata, perkara itu disedari selepas adiknya, Abdul Aziz, 55, pergi ke kubur berkenaan sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri untuk membersihkan kubur keluarga dan sanak-saudara mereka.

Menurutnya, adiknya mendapati kedua-dua kubur itu dipenuhi abu, kelihatan kotor serta hitam akibat sampah terdiri daripada pokok dan daun-daun kering yang dibakar di atasnya.

“Adik saya terus hubungi saya dan menghantar gambar kubur itu menggunakan WhatsApp. Saya sedih dan marah melihat kubur anak dan mak saudara saya menjadi begitu.

“Hati saya lebih sedih bila datang ziarah kubur pada pagi raya. Bayangkan perasaan ibu bila lihat kubur anaknya kotor, hitam dan terbakar. Sampai saya menangis melihat kubur anak saya diperlakukan begitu,” katanya di sini, semalam.

Rosiah yang tinggal di Kampung Jiboi, Ampangan itu, berkata, sehari sebelum kejadian, adiknya ada memberitahu terlihat longgokan sampah diletakkan di atas kedua-dua kubur itu.

“Adik saya selalu pergi ke kubur untuk membersihkan kubur mak, ayah dan ahli keluarga lain. Dia tak sangka longgokan sampah yang diletakkan atas kubur anak saya itu akan dibakar.

“Adik mahu beritahu penjaga kubur supaya mengalihkan sampah yang dilonggokkan itu tetapi pada hari itu tiada penjaga kubur di sana. 

"Tak sangka esoknya mereka bakar sampah pokok di atas kubur itu," katanya.

Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, dia mahu individu yang membakar sampah itu supaya bertanggungjawab.

“Orang yang melakukan ini tidak hormat kubur dan si mati. Saya keluar duit ratusan ringgit untuk cantikkan kubur, tapi lain pula jadinya.

"Saya mahu dia minta maaf pada saya dan bayar ganti rugi untuk membetulkannya semula. Saya tak sanggup lihat kubur anak saya begitu, hati saya sangat sedih,” katanya.

Berikutan kejadian itu, katanya, dia membuat laporan polis meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelaku.

“Saya berharap tindakan diambil terhadap pelaku kerana saya tidak mahu perkara ini terjadi pada kubur lain pula nanti,” katanya.

0 comments:

share2