Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 30, 2015

(KUANTAN) TANGGUH AKTIVITI PEMBALAKAN SERTA-MERTA


Tangguh aktiviti pembalakan serta-merta


Semua aktiviti penerokaan hutan dan pembalakan di kawasan hulu Pahang diarah ditangguhkan serta-merta sehingga siasatan selesai dijalankan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, siasatan yang akan dikendalikan Jabatan Perhutanan itu akan diteliti sebelum tindakan seterusnya diambil bagi mengelak masalah seperti pencemaran alam sekitar yang dilaporkan sebelum ini tidak berulang.

Menurutnya, arahan penangguhan itu berkuat kuasa serta-merta dan siasatan akan dijalankan untuk memastikan tiada wujud gangguan serta pencemaran kepada alam sekitar terutama sungai yang berdekatan berulang.

“Kita akan tunggu sehingga siasatan selesai dan tiada tempoh masa ditetapkan. Siasatan yang akan dibuat mungkin mengambil masa dan kita kena tunggu laporan daripada Jabatan Perhutanan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar mengenai aktiviti penerokaan hutan yang semakin rakus di kawasan hulu Sungai Pahang sehingga menjejas beberapa air sungai di kawasan terlibat.

Dalam pada itu, Adnan turut mengesahkan terdapat tujuh lesen dikeluarkan untuk aktiviti pembalakan di sekitar kawasan hulu Sungai Pahang dan salah satunya adalah milik Yayasan Pahang.

“Kebenaran yang dikeluarkan untuk aktiviti penerokaan dan pembalakan itu terletak di luar kawasan Taman Negara Kuala Tahan dan Ulu Tembeling.

“Malah kerajaan negeri telah menetapkan zon penampan dengan jarak 1.5 kilometer daripada kawasan penerokaan dengan sungai serta hutan untuk tujuan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

Adnan berkata, Yayasan Pahang ada menjalankan projek penanaman getah di kawasan tersebut dan hasil pendapatan akan digunakan untuk membiayai biasiswa dan bantuan pendidikan kepada pelajar cemerlang yang akan melanjutkan pelajaran.

Akhbar sebelum ini melaporkan aktiviti pembalakan yang tidak terkawal di Taman Negara Kuala Tahan dan Ulu Tembeling semakin berleluasa sehingga ke kawasan Hutan Simpan Tekai dan Hutan Simpan Tembeling.

Tindakan itu mengakibatkan Sungai Tembeling menjadi cetek kerana berlaku mendapan serta hakisan pasir yang berpunca penebangan balak.

0 comments:

share2