"Puncak Gunung Kerinci, kau tunggu kami datang!" itulah kata-kata yang bergema dalam relung hati penulis. Pendakian yang mencabar dan memenatkan, membuatkan kudrat untuk memekikkan suara ibarat tersekat di pangkal halkum.
Suhu mencecah tujuh darjah Celsius dengan tiupan angin bukan calang-calang adalah cabaran yang terpaksa para peserta tempuh. Jika tidak kerana semangat dan keinginan jitu, jangan kata sampai ke puncak... separuh pendakian pun telah ada yang berpatah balik. Namun, walaupun payah, semangat berkobar untuk sampai ke puncak sedikit pun tidak terkalahkan dek kepayahan ketika mendaki.
Keadaan bukit-bukit yang mencanak, di tambah di kiri dan kanan lereng yang cerun dan di bahagian belakang terdapat gaung, sedikit pun tidak mengacau semangat kami, apatah lagi mencuit rasa gerun. Cuma yang pasti, langkah berhati-hati tidak pernah diambil ringan.
Biarpun, ada peserta yang hampir tersungkur semangatnya sehingga mengalirkan air mata, sokongan rakan peserta yang lain menjadi pembakar semangat untuk meneruskan pendakian. Di sini, kami belajar erti setia kawan dan sokongan rakan taulan.
Positif! Positif! Positif!
Pendakian yang diteruskan menemukan kami dengan sebuah penanda berbentuk kubur yang dinamakan Tugu Yuda. Ia dibina bagi memperingati kehilangan seorang pendaki remaja yang dikatakan hilang sewaktu mendaki dalam kabus tebal di kawasan berkenaan. Pendaki remaja itu, dikatakan sehingga kini masih belum ditemui.
Mendengarkan informasi itu, bohonglah jika tiada antara kami yang tidak cuak di dalam hati. Melihat dari riak wajah setiap rakan pendaki, penulis yakin telahan itu agak tepat buat beberapa rakan peserta.
Manakan tidak, dalam masing-masing sibuk mendengar penerangan diberikan, tiba-tiba cuping telinga penulis menangkap omelan halus rakan seperjuangan, "hilang masa mendaki... sampai sekarang tak dapat jumpa lagi...".
Mendengarkan itu, penulis lekas menarik nafas dalam-dalam dan secarik senyuman lantas terukir. Di dalam hati hanya bisikan 'postif! positif! positif' sahaja kedengaran.
Pada saat-saat begini, hanya semangat sebegitu diperlukan. Selain dari itu, ia cuma akan menggagalkan misi untuk sampai ke puncak Gunung Kerinchi!
Sebaik kata-kata semangat itu berteriakan dalam hati, cahaya merah sang mentari mula menyinari. Sinaran mempesonakan di sebelah kanan ketika peserta tiba di tugu tersebut, ternyata meragut anasir-anasir yang sebentar tadi cuba mengacau semangat tekad.
Tidak henti puji ALLAH
'Berenang-renang dahulu, berakit-rakit ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian' itulah peribahasa paling sinonim bagi menggambarkan kepuasan kami sebaik berjaya sampai di puncak Gunung Kerinci. Kepayahan dan cabaran dihadapi sepanjang dua jam mendaki berakhir dengan sebuah panorama paling mempesonakan.
Tiada kata-kata paling agung terluah dari bibir penulis dan peserta Muslim yang lain bagi melahirkan ketakjuban melihat kebesaran ALLAH.
"Allahuakbar... Masya-ALLAH... Subhanallah..." bibir tidak berhenti menganggungkan kehebatan ALLAH sementara mata seolah-olah sukar berhenti dari menikmati pemandangan indah 360 darjah dari puncak.
Kalau jatuh dalam kawah, tiada misi menyelamat
Berada di puncak menjadikan kami sedikit 'aktif'. Masing-masing dengan ulah dan gelagat tersendiri. Apa yang pasti, kami sibuk bertemankan kamera bagi merakamkan detik nan indah.
Pelbagai aksi posing dapat dilihat.
Laluan tebing kawah yang sempit memerlukan peserta meniarap jika ingin melihat ke dalam kawah yang mempunyai takungan air berwarna hijau dengan ‘busut’ di tengah bertompok merah menyala dan mengeluarkan asap belerang.
"Hati-hati, jika ada jatuh ke jurang... tiada sebarang misi menyelamat. Mayat yang jatuh akan terus bersemadi di bawah sana." - Dup! tersentak jantung mendengarkan penerangan itu.
Aksi-aksi yang agak 'aktif' sebelum itu, serta-merta beransur perlahan. Masing-masing dilihat mengambil sikap jaga diri masing-masing.
Lekas mengalihkan perasaan gusar itu, penulis kembali fokus pada keindahan panorama. Dari puncak, jelas terlihat beberapa bandar seperti Kota Jambi, Padang dan Bengkulu serta sebuah tasik tertinggi di Sumatera berdekatan Gunung Tujuh.
Dalam keasyikan itu, cuaca cerah di puncak kadangkala menjadi gelap apabila ditutupi asap belerang. Apabila keadaan itu berlaku, ia boleh menyebabkan rasa mual dan mabuk.
Walaupun kurang selesa dengan rasa berkenaan, ia tetap menakjubkan!
"Berdiri lebih tinggi dari awan, rasa macam ada kat negeri atas awan pula," penulis berseloroh sendiri.
Jika ikutkan hati memang belum puas, tapi pendaki perlu turun sebelum jam 9 pagi, kerana semakin siang, semakin tebal asap belerang semakin menyukarkan pernafasan.
Pengalaman mengajar erti persahabatan
Dua rakan kami di kumpulan terakhir mengalami kepenatan melampau dan demam sebaik tiba di Shelter 1 pada jam 10 malam.
Sekumpulan pendaki Indonesia yang berkhemah di Shelter itu membenarkan mereka tidur di dalam khemah mereka.
Ketika itu keadaan badan terlalu letih. Kehabisan bekalan air dan makanan, sehinggakan mahu melangkah pun terhuyung-hayang benar-benar menewaskan hati waja penulis. Hendak menangis rasanya, mengenangkan nasib diri.
Sesungguhnya ia pengalaman sangat mahal untuk dilupakan. Di sini, kami belajar erti persahabatan tanpa mengira usia dan bangsa.
Terlibat sama dalam kumpulan ramai dan dianggotai golongan veteran, sudah pasti pelbagai rencah hidup dikongsi bersama.
Setiap pengalaman dikongsikan mengajar kami erti sebuah kehidupan. Apa yang lebih penting, semua peserta selamat kembali ke Pintu Rimba. Alhamdulillah...
0 comments:
Post a Comment