Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 9, 2015

(KUANTAN) 831 KAPAL DIPERIKSA SEJAK JANUARI

831 kapal diperiksa sejak Januari



Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia Pahang telah melakukan pemeriksaan ke atas 831 kapal di sekitar perairan Pahang sejak Januari hingga awal Julai ini.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Kapten Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata daripada jumlah itu, sebanyak 23 kes melibatkan tangkapan dan pendakwaan di mahkamah, untuk tempoh yang sama.

Katanya kes itu melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta Warisan Negara 2005, Akta Zon Ekomomi Eksklusif 1984.

Tangkapan juga melibatkan kes berkaitan penyalahgunaan lesen penangkapan ikan oleh nelayan tempatan dan nelayan asing, tambahnya.

"Pemeriksaan yang dilakukan ini melibatkan semua jenis kapal, sama ada kapal nelayan tempatan dan warga asing, kapal perdagangan dan bot pelancongan termasuk feri.

"Kesalahan yang paling kerap dilakukan nelayan asing ialah memasuki perairan negara dan menangkap ikan tanpa kebenaran sementara nelayan tempatan pula adalah kerana melanggar syarat lesen yang diberikan," katanya.

Che Engku Suhaimi berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu Pencegahan Dadah dalam Kalangan Nelayan antara Maritim dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pahang di sekitar perairan Kuantan di sini, hari ini.

Beliau juga memberitahu Maritim akan mempergiatkan lagi rondaan sempena musim perayaan tidak lama lagi bagi memastikan perairan Pahang, khususnya di Kuantan tidak diceroboh nelayan atau dijadikan laluan untuk menyeludup bahan terlarang.

Mengulas mengenai operasi itu, beliau berkata 22 nelayan tempatan dan warga asing telah menjalani pemeriksaan air kencing, namun kesemua mereka didapati negatif dadah.

Pemeriksaan dilakukan di atas kapal nelayan terbabit sejauh 20 batu nautika daripada jeti Jabatan Laut di sini dan di kawasan rehat nelayan di jeti Tanjung Api.



0 comments:

share2