Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 26, 2015

KES PUKUL DAN SAMUN PELAJAR, SEMBILAN LELAKI DITAHAN


PDRM


Georgetown - Polis menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang pelajar Universiti Awam (UA) cedera dipukul dan disamun dalam kejadian di Flat Taman Sri Perak, Jelutong di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, sembilan lelaki berusia 21 hingga 24 tahun itu ditahan pada pukul 6.30 petang semalam di sebuah hotel di kawasan Bayan Lepas, dekat sini.

"Sembilan lelaki itu ditahan susulan laporan polis oleh seorang pelajar lelaki berusia 22 tahun yang cedera dipukul dan disamun dalam kejadian di Jelutong kira-kira pukul 11 malam Khamis lepas," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, menurut mangsa yang tinggal di Flat Mutiara Idaman di Jelutong, pada hari kejadian beliau dihubungi oleh kenalannya yang mahu berjumpa dengan pelajar itu di sebuah kedai berhampiran rumahnya untuk berbincang beberapa perkara.

Katanya sebaik sampai di lokasi berkenaan terdapat dua lelaki termasuk kenalannya dan mangsa diajak masuk ke dalam kedai sebelum seorang daripada lelaki itu bertindak mencekik leher mangsa serta memaksa pelajar berkenaan mengambil dadah.

"Dalam masa yang sama, datang tiga lelaki yang mana seorang daripadanya terus meletakkan pisau di pinggang mangsa lalu mengarahkan pelajar itu masuk ke dalam sebuah van untuk dibawa ke Flat Taman Seri Perak," katanya.

Mior Faridalatrash berkata, dalam perjalanan itu, mangsa turut dipukul oleh tiga lelaki berkenaan dan dalam masa yang sama seorang daripadanya meletakkan parang di leher pelajar itu serta mengarahkan mangsa diam dan tidak melawan.

Katanya sebaik sampai di lokasi kejadian, terdapat 20 lelaki dan mangsa telah dipukul oleh mereka dengan menggunakan besi dan kayu serta turut diugut akan dipotong jarinya.

"Mereka turut mengambil jam tangan, rantai tangan, tiga bentuk cincin dan wang tunai RM500 milik mangsa sebelum meninggalkan lelaki berkenaan di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata susulan kejadian itu, mangsa yang menuntut di sebuah UA di Lembah Klang mengalami kecederaan patah hidung, luka di dalam mata kiri, lebam di kepala, calar di pinggang, sakit di seluruh badan dan sakit dada serta sesak nafas.

"Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah akibat daripada pertengkaran mulut kerana mangsa memaki hamun keluarga seorang daripada lelaki yang ditahan itu dengan perkataan tidak elok," katanya.

Semua lelaki yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, katanya.

0 comments:

share2