Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 4, 2015

JERANTUT: MAUT TERSEPIT DI TEMPAT DUDUK


Maut tersepit di tempat duduk


Seorang maut manakala tiga lagi parah dalam kejadian kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 7, Jalan Jerantut-Temerloh, berdekatan Kampung Temin, di sini kira-kira jam 1.30 tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Jerantut, Superintendan Azid Ismail berkata, mangsa yang maut adalah seorang warga Indonesia dikenali sebagai Sabirin, 33, yang juga pemandu kereta Proton Wira.

Menurutnya, dua orang rakan mangsa yang turut menumpang kereta berkenaan, iaitu Musiffudin, 30, seorang tukang rumah dan Barasfarina, 20, yang tidak bekerja pula mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan selanjutnya.

Beliau berkata, pemandu kereta Nissan Sentra, Nor Ainidin Nordin, 41, turut mengalami kecederaan parah, iaitu patah tangan kiri dan kaki kiri juga turut dikejarkan ke Hoshas, Temerloh untuk menerima rawatan.

“Kejadian berkenaan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Sabirin yang datang dari arah Temerloh menghala ke bandar Jerantut tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta yang dipandu Nor Ainidin yang datang dari arah bertentangan.

“Pertembungan yang kuat itu menyebabkan kedua-dua kereta remuk teruk di bahagian depan dan Sabirin yang bekerja sebagai tukang rumah tersepit di tempat duduk maut dalam kejadian itu,” katanya di sini, semalam.

Azid berkata, mangsa yang maut dipercayai tidak mempunyai lesen memandu dan ketika kejadian itu keadaan cuaca cerah, laluan lurus mempunyai garisan berkembar yang sibuk dengan kenderaan lain.

Menurutnya, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau berkata, polis masih menyiasat punca kemalangan itu dan orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi bahagian trafik Jerantut menerusi talian 09-2666889 untuk membantu siasatan.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.46 tengah hari dan sampai di tempat kejadian 10 minit kemudian.

“Seramai tujuh anggota bomba dan dibantu unit ‘rescue power’ sebuah jentera mengeluarkan empat orang mangsa yang tersepit di dalam kereta berkenaan,” katanya.

0 comments:

share2