Rembau - Gara-gara tidak berpuas hati ibu dan bapa beraya di rumah kakaknya di Kuala Pilah, seorang lelaki sanggup membakar kediaman mesra rakyat diduduki mereka bertiga di Kampung Senama, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.26 malam itu, lelaki berkenaan yang sudah 10 tahun menetap bersama ibu dan bapanya bertindak menarik ibunya keluar dari rumah sebelum membakar kediaman mereka.
Ibunya, Rohani Lanjong, 67, berkata, dia berada di dalam bilik di bahagian hadapan rumah sebelum anak keduanya itu tiba-tiba menariknya keluar rumah serta melarangnya masuk kerana ingin membakar kediaman berkenaan.
“Anak makcik cakap ‘jangan masuk, den nak baka rumah’. Suami makcik (Md Ajis Hasan, 79) yang mulanya masuk kembali akhirnya kena keluar juga.
“Kami tak sempat selamatkan apa-apa sebab dia terus bakar, mula dari bilik tidur di tengah rumah. Masa itu, ada bau minyak dan letupan,” katanya ditemui di lokasi kejadian, malam kelmarin.
Rohani berkata, anak keduanya itu memarahi dia dan suami pergi beraya di rumah anaknya di Kuala Pilah kelmarin.
Menurutnya, dia rugi lebih RM20,000 kerana kediaman mesra rakyat berkenaan turut dijadikan stor barangan kenduri ahli keluarga.
“30 biji bantal kekabu yang makcik baru beli dan tilam juga habis terbakar,” katanya.
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai Pegawai Bomba Halim Abd Malik dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 7.26 malam dan tiba di lokasi jam 7.39 malam.
Halim berkata, seramai 10 anggota termasuk balai bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.
“Semasa sampai, api sedang marak dan kami mengambil masa 10 minit bagi mengawal kebakaran. Kediaman berkenaan terbakar kira-kira 85 peratus.
“Usaha memadamkan kebakaran berhadapan kesukaran memandangkan pili air terletak lebih 800 meter dari lokasi. Bagaimanapun, kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke kediaman berdekatan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.
Menurutnya, suspek pulang ke rumah kira-kira jam 6.30 petang dalam keadaan marah dan telah menyimbah minyak dipercayai petrol di dalam rumah serta di atas tilam sebelum menghidupkan api.
“Suspek berusia 45 tahun itu telah ditangkap di lokasi kejadian," katanya.
0 comments:
Post a Comment