Kepada penggemar motosikal Harley-Davidson, mungkin sedikit janggal dengan kehadiran model yang lebih kecil berbanding jentera easy-rider di bawah legasi jenama legenda Amerika itu.
Akan tetapi, secara realitinya Harley-Davidson komited untuk mengeluarkan model yang bersesaran lebih rendah semata-mata untuk meraih pasaran di Asia khususnya.
Sehubungan dengan itu, tindakan Harley-Davidson untuk bersetuju mengeluarkan model Street 750 masih mendapat persepsi yang positif dalam kalangan penggemar motosikal. Selain faktor harga pemilikan yang lebih rendah dan mampu milik, model tersebut turut membuka ruang kepada penggiat kustom.
Bersetuju mengambil unit tunggang uji dari Harley-Davidson Kuala Lumpur (HDKL), penulis masih ragu-ragu terhadap model berkenaan di atas beberapa sebab utama.
Dari segi rekaan, tulus penulis nyatakan ia tidak sehebat model-model Harley-Davidson lain. Penggayaannya hampir mencirikan ianya seakan jentera buatan Jepun. Jika tiada kehadiran lencana jenama ikon tersebut, penulis yakin ramai yang akan keliru untuk menamakan ia adalah buatan Harley-Davidson.
Pertama kali duduk di pelana jentera ini, penulis berasa sedikit janggal. Mungkin posisi kedudukan jentera ini tidak mempunyai elemen-elemen utama buatan pengeluar ikon tersebut. Capaian hendal masih selesa tetapi kedudukan kaki sedikit canggung kerana saiz jentera yang terasa kecil keseluruhannya.
Selepas enjin dihidupkan, versi ini tidak memiliki elemen tulen enjin ikon Amerika tersebut. Kadar gegaran enjin dan bunyi ekzos kurang berjaya untuk memberi impak seperti mana yang diharapkan.
Pastinya, dengan set paip alternatif selepas pasaran, ia mungkin menghasilkan bunyi V-twin biasa dengan sistem sejukan cecair. Menguji unit tunggang uji rakan yang sudah dipasang set paip selepas pasaran, enjin SOHC empat injap Revolusi X masih tidak mampu menyediakan ciri unik Harley-Davidson.
Namun begitu, kesemuanya tidaklah terlalu negatif. Dari sisi positif, Street 750 direka untuk keluar daripada kelompok tipikal Harley-Davidson. Apa yang cuba mereka sampaikan ialah ciri tunggangan yang lebih selesa, keluk kuasa enjin yang lebih baik dan prestasi pengendalian yang lebih berorientasikan penunggang.
Kuasa enjin 750cc lancar dan mempunyai julat kuasa yang baik. Penulis kekal hairan apabila corak kemasukan gear juga yang tidak sama seperti jentera Harley-Davidson lain. Pengendalian gear dan klac adalah ringan, selesa dan lancar tetapi kurang ‘feel’ dengan ketiadaan bunyi laga besi yang kuat ketika kemasukan gear.
Melalui laluan sempit di lorong motosikal, Street 750 mudah dikendalikan dan penulis tidak menafikan jentera ini memiliki jumlah berat badan yang ringan dan jarak kelegaan tanah yang baik.
Dalam sekitar bandar, tindak balas pendikit dari sistem suntikan bahan api EFI baik dan cepat menghasilkan daya pecutan. Walaupun berada pada rpm rendah, kuasa masih kekal kuat untuk membawa motosikal ke hadapan.
Setelah menghabiskan beberapa minit di atas pelana Street 750, akhirnya penulis menjumpai ciri sama yang menunjukkan ia adalah mesin keluaran Harley-Davidson. Penulis berasa gigitan brek angkup dua omboh pada roda hadapan dan angkup omboh tunggal di belakang kurang mencukupi. Penulis terpaksa menekan kuat brek belakang setiap kali memerlukan daya hentian yang lebih efektif.
Pengendalian dalam kesibukan bandar mudah untuk bergerak ke mana-mana arah ketika menyelit di celah-celah kenderaan. Kruising dalam gear keenam cukup selesa tanpa kadar gegaran yang kuat. Walaupun jentera ini ringan, ia stabil untuk melawan arus angin kuat dalam kelajuan tinggi.
Lebih musykil, Street 750 mampu bergerak dalam kelajuan tinggi. Jarum meter maksimum menunjukkan angka 180 kilometer sejam (km/j) dan menghairankan apabila penulis mampu meletakkan jarum meter kelajuan pada julat tersebut.
Secara keseluruhannya, penulis menganggap Street 750 bukanlah antara produk yang terbaik dari jenama legenda Amerika tersebut. Kesesuaian saiz dan nisbah berat adalah amat baik terutamanya kepada pengguna motosikal Asia. Namun begitu, penciriannya yang berbeza mungkin seolah-olah tidak menggambarkan satu pemilikan kepada jenama ikon tersebut dan hanya dikaburi lencana Harley-Davidson.
0 comments:
Post a Comment