Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 25, 2015

FARIDAH MIMPI DAPAT BERJALAN SEMULA


Faridah mimpi dapat berjalan semula


Pasir Gudang - Mangsa ragut di Taman Bukit Dahlia, di sini Mac lalu kerap bermimpi dapat kembali berjalan dan bergerak aktif seperti dahulu.

Faridah Harith, 47, berkata, malangnya kegembiraan itu hanya dalam mimpi apabila doktor mengesahkan memang agak mustahil untuk dia berjalan kembali selepas mengalami patah tulang belakang.

Bagaimanapun menurutnya, dia tetap bersyukur dapat berpuasa dan berhari raya bersama keluarga, meskipun tidak lagi semeriah dulu kerana segala persiapan sudah bertukar tangan kepada anak-anak perempuannya.

“Biasanya akak yang sibuk membuat persiapan raya terutama masakkan nasi tomato atau nasi jagung untuk juadah di pagi raya, tapi kali ini dan akan datang dah tak boleh lagi seperti dulu-dulu.

“Kita sekeluarga memang balik beraya di kampung Batu Pahat kerana kasihankan anak-anak kesunyian, tapi tak dapat lama kerana akak tak boleh duduk terlalu lama,” katanya yang ditemui Sinar Harian di kediamannya di Taman Cendana, di sini, semalam.

Faridah berkata, insiden diragut sehingga menyebabkannya lumpuh separuh badan membuatnya trauma sehingga kini.

Bagaimanapun menurutnya, dia memaafkan peragut-peragut berkenaan dan reda dengan ujian ALLAH buatnya dengan harapan peragut itu diberikan hidayah untuk berubah menjadi anak yang baik.

“Masa mula-mula kena dulu memang akak rasa marah dan geram sampai selalu bercakap sendirian.. ‘sampai macam ini kau buat aku.. keuntungan kau dapat tak seberapa, tapi derita aku berpanjangan’.

“Tapi sekarang perlahan-lahan akak sudah boleh memaafkan mereka (peragut) dan berharap mereka berubah kerana takut berulang terjadi kepada emak dan keluarga mereka,” katanya.

Katanya, kehidupannya diuruskan anak-anaknya terutama anak kedua selepas suami, Kelana Bakri terpaksa bekerja untuk menyara keluarga memandangkan lima lagi anak masih bersekolah.

“Akak memang dah tak boleh buat apa, hanya mampu terbaring kerana bahagian pinggang ke bawah dah tak rasa apa.

“Sebulan sekali kena pergi buat fisioterapi di hospital untuk tangan dan bahu kanan yang patah,” katanya.

Sinar Harian 17 Mac lalu menyiarkan seorang ibu dan anak menjadi mangsa ragut ketika menunggang motosikal pulang dari membeli barangan keperluan harian di sebuah pasaraya sekitar jam 8.30 malam.

Mangsa mengalami kecederaan serius akibat terjatuh daripada motosikal sebaik ditendang dua peragut yang menarik beg tangan yang disembunyikan di balik tudungnya.

0 comments:

share2