Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 19, 2015

CERITA REBUT BALIK RAYA PASANGAN MUDA


Cerita rebut balik raya pasangan muda


Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti akan melalui pengalaman menyambut hari raya sebagai suami isteri buat pertama kali dan bagaimana sebenarnya pasangan-pasangan ini terutama yang muda menentukan lokasi sambutan perayaan mereka?

Di kampung isteri dahulu atau kampung suami perlu didahulukan?

Jika kampung hanya sebelah menyebelah memang tiada masalah tetapi bagaimana jika seorang dari selatan dan seorang dari utara ataupun ada yang dari Borneo?

Tarikh 1 Syawal sangat istimewa dan pastinya setiap individu mahu menyambutnya bersama keluarga sendiri.

Ikuti kisah empat pasangan yang sempat dirisik Sinar Online menjelang sambutan perayaan Aidilfitri mereka.

Siti Nadia Samshir akui menyerahkan keputusan balik kampung siapa kepada suaminya, Hairul Rajak pada tahun pertama perkahwinan mereka.

“Raya Aidilfitri pertama kami di kampung suami dan malam hari raya pertama itu kami pulang ke kampung saya pula. Jaraknya tidak terlalu jauh kerana masih di negeri yang sama.

“Pada hari raya haji pula giliran kampung saya dan kemudian baru kami pulang ke kampung suami,” ceritanya.

Ketika ditanya bagaimana keputusan dicapai untuk beraya di kampung suami pada tahun pertama perkahwinan, di Pengerang, Johor itu, Siti Nadia sempat berseloroh: “...suami saya guna kuasa veto dia.”

Setiap tahun pasangan yang telah dikurniakan seorang cahaya mata ini bergilir-gilir menyambut 1 Syawal di kampung masing-masing bersama keluarga tercinta.

“Sebenarnya hari raya pertama sangat bermakna kerana ada sesi bermaaf-maafan di mana keluarga besar berkumpul bersama-sama yang jarang kita dapat rasakan pada hari lain.

“Keluarga saya di Batu Pahat, pada jam 7 pagi sudah beratur untuk minta maaf dan beri duit raya bermula daripada yang tua sehingga kanak-kanak,” katanya.

Situasi sama turut dialami Nor Shafeeqah Yahya yang memutuskan untuk menurut keputusan suaminya, Azim Azami Mohd Ariffin sejak tahun pertama perkahwinan mereka.

Kalau ikutkan tahun pertama perkahwinan kami beraya di kampung suami kerana raya tahun lalu saya mengandung anak pertama, jadi, saya tidak kisah sangat. Kena dengar cakap suami kan tapi mesti gilir-gilirlah.

“Tapi tiba-tiba suami ajak balik kampung saya dahulu di Muar. Kebetulan pula adik-beradik saya semua balik Muar, jadi dapat jumpa semua, memang gembira sangat ketika itu,” katanya.

Tahun ini, Shafeeqah akan beraya di kampung Azim di Serendah, Selangor sebelum beraya di kampungnya, di Muar, Johor.

Bagi pasangan Mohd Rizal Helmi A Razak dan Syafila Kamarudin pula, si suami memang menawarkan untuk beraya di kampung isterinya memandangkan Mohd Rizal sendiri mahu merasa suasana beraya di kampung.

“Saya rancang yang tahun pertama berkahwin, beraya kampung perempuan di Perak sebab saya nak rasa suasana beraya di kampung.

“Maklumlah mak ayah saya tinggal di sini (Kuala Lumpur), jadi, isteri setuju sahaja dan kami bergilir-gilir sejak dari tahun pertama perkahwinan lagi. Kami akan balik rumah ibu bapa saya pada hari raya ketiga dan keempat,” katanya.

Manakala Siti Nur Zulaikha Ishak pula sempat membuat ‘permohonan’ kepada suaminya, Adib Mustafa Othman untuk beraya di kampungnya pada tahun pertama perkahwinan mereka.

“Tahun pertama raya dengan suami, saya yang ‘request’ raya di kampung saya. Alhamdulillah suami memang tidak ada masalah. Dia OK saja.

“Jadi, tahun ini giliran beraya di kampung suami pula. Tapi kalau boleh nak beraya di kampung saya setiap tahun. Yang ini memang tak dapatlah,” katanya dengan nada berseloroh.

Pasangan ini akan pulang beraya ke rumah Zulaikha pada hari raya ketiga kerana menurut Zulaikha tahun lalu mereka pulang beraya ke kampung Adib pada hari raya ketiga.

Kebetulan kampung Zulaikha dan Adib berhampiran.

“Tahun lepas raya ketiga baru balik ke kampung suami di Felda Tenggaroh. Jadi, raya ketiga nanti baru balik kampung saya pula di Felda Tunggal. Barulah adil,” katanya.

0 comments:

share2