Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 27, 2015

BAM BINCANG KEKOSONGAN JAWATAN KIM HER


Mohamad Norza Zakaria


Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan membincangkan mengenai kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh jurulatih beregu negara, Tan Kim Her dalam mesyuarat exco persatuan itu di ibu pejabatnya di Bukit Kiara, hari ini.

Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, badan induk itu menghormati keputusan jurulatih berusia 44 tahun itu yang bakal menyertai Persatuan Badminton India (BAI) selaku ketua jurulatih beregu negara berkenaan. 

"Kita ucapkan selamat berjaya kepada beliau (Kim Her). Saya rasa beliau telah membuat keputusan yang baik untuk diri beliau," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Petaling Jaya, semalam.

"Saya baharu sahaja bercakap dengan (Pengarah Teknikal BAM), Morten Frost Hansen bahawa kita akan mengadakan perjumpaan dan kita akan melihat perancangan seterusnya.

Kita (BAM) sentiasa meletakkan kepercayaan kepada Morten Frost dalam melakukan yang terbaik (untuk mencari pengganti yang sesuai) kerana kita telah meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepadanya," kata Mohamad Norza. 

Laporan portal India Today pada Jumaat dilaporkan berkata bahawa Kim Her telah menandatangani kontrak selama lima tahun untuk membimbing pasangan beregu negara India selepas dikatakan mendapat tawaran lumayan daripada BAI.

Untuk rekod, Kim Her yang merupakan bekas pemain beregu negara era 90-an pernah membimbing beberapa pasukan luar seperti Korea Selatan dan England dari 2005 sehingga 2010.

0 comments:

share2