Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 7, 2015

JANDA BAIK: MINTA TNB KAJI SEMULA PROJEK


Minta TNB kaji semula projek


Tenaga Nasional Berhad (TNB) diminta mengkaji semula pembinaan menara talian penghantaran elektrik di Hutan Simpan Kekal Lentang, di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pembinaan terbabit yang merupakan projek pelaksanaan di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) itu dikatakan telah memberi kesan kepada sungai Janda Baik.

“Saya minta supaya TNB mengkaji semula untuk mengalihkan projek terbabit supaya kerja-kerja pembinaan dan penghantaran bekalan projek itu tidak menjejaskan bekalan air penduduk,” katanya.

Beliau yang juga pengerusi PKNP berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Ulang Tahun ke 50 PKNP di Kampung Janda Baik, di sini, kelmarin.

Majlis yang turut dihadiri oleh Ketu Eksekutif PKNP, Datuk Abdul Rahim Mohd Ali itu turut menyampaikan sumbangan kepada warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU).

Katanya lagi, tindakan menceroboh kawasan yang sepatutnya tidak dicerobohi dianggap sebagai sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya kita melakukan kerja terbabit secara elok dan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan tidak akan ada masalah timbul.

Bagaimanapun, saya telah memaklumkan perkara ini kepada pihak TNB supaya laluan terbabit dianjakkan atau dialihkan agar kesan kerja tidak membabitkan sungai di Janda Baik ini,” katanya.

Katanya, pihak kerajaan negeri telah meminta TNB dan Jabatan Perhutanan serta jabatan yang terlibat mengambil tindakan sepatutnya bagi mengatasi masalah terbabit.

“Saya harap pihak yang terlibat bertanggungjawab ke atas masalah terbabit agar sungai di Janda Baik tidak terjejas,” katanya.

Dalam masa sama, Adnan turut menyempurnakan majlis menandatangani papan tanda tapak jualan bazar kecil dan sederhana (IKS) di sini, kelmarin.

Sebanyak enam buah kedai menjual pelbagai produk tempatan Janda Baik seperti sayur-sayuran kampung, ubatan herba dan sebagainya terdapat di tapak jualan terbabit.

0 comments:

share2