Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 6, 2015

137 PENDAKI TERKANDAS DI GUNUNG KINABALU


137 pendaki terkandas di Gunung Kinabalu


Ranau - Sebanyak 137 pendaki disahkan terkandas di puncak Gunung Kinabalu berikutan gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter di sini, awal pagi semalam.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata lokasi kesemua mereka telah dikenal pasti, dan usaha membawa turun pendaki terbabit ke Laban Rata, sedang giat dilakukan dengan kerjasama 32 malim gunung atau pemandu pelancong.

Sebanyak 10 pendaki dilaporkan cedera setakat ini, dan belum ada sebarang maklumat membabitkan kemalangan jiwa, katanya pada sidang media di sini.

Masidi berkata keadaan mangsa yang cedera akan dipastikan terlebih dahulu sebelum dimaklumkan kepada anggota keluarga mereka.

"Usaha mencari dan menyelamat pendaki akan diteruskan sehingga tengah malam ini, dan kita akan pastikan pendaki yang terkandas dapat dibawa turun ke Laban Rata.

"Apa yang menjadi keutamaan adalah untuk memberikan keperluan makanan, minuman, tempat tinggal, keperluan pakaian panas dan selimut untuk mereka," katanya.

Masidi juga tidak menolak kemungkinan kesemua pendaki terpaksa bermalam di Laban Rata, bagi memastikan keadaan mereka stabil sebagai persediaan sebelum dibawa turun ke Pondok Timpohon.

Beliau berkata sebanyak 52 pendaki telah dibawa turun ke pondok berkenaan yang merupakan pintu masuk untuk melakukan aktiviti pendakian.

Katanya 85 anggota keselamatan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi keselamatan lain terlibat dalam operasi itu.

Dua helikopter milik PDRM juga telah memberikan bantuan makanan, minuman dan selimut di Laban Rata, katanya.

0 comments:

share2