Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 7, 2015

TERAJANG IBU BAPA, DIARAH KE HOSPITAL PERMAI


Terajang ibu bapa, diarah ke Hospital Permai


Kuala Terengganu - Mahkamah Majistret, di sini, mengarahkan seorang lelaki yang mengaku memukul dan menerajang kedua ibu bapanya, dalam kejadian 27 dan 28 April lalu dihantar ke Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru.

Mohd Sukeri Saidi, 34, diarahkan mendapatkan rawatan psikiatri di hospital berkenaan selama sebulan sebelum dipanggil semula pada 9 Jun depan sementara menunggu laporan kesihatannya.

Arahan itu dikeluarkan selepas dia yang memiliki rekod rawatan mental itu mengaku salah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap ibunya, Ramlah Abd Rahman, 62, dan bapanya, Saidi Mohd, 72.

Mohd Sukeri mengaku salah dengan sengaja mencederakan ibunya pada 27 April lalu, kira-kira jam 9 malam dan turut mengaku salah mengulangi perbuatan sama terhadap bapanya pada keesokan harinya, 28 April lalu, kira-kira jam 7 pagi.

Dia mengaku salah melakukan jenayah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu di kediaman mereka di Losong Lebai Musa Gelugor Kedai, di sini.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Berdasarkan fakta kes, pada 28 April lalu, jam lebih kurang 7.45 pagi, abangnya, Mohd Anuar Saidi, 43, yang tinggal di Taman Puteri Payung, Bukit Payung, Marang, telah menerima panggilan telefon daripada ibu mereka, Ramlah.

Sambil menangis, Ramlah memberitahu Mohd Anuar yang adiknya Mohd Sukeri telah mengamuk dengan memukul serta menerajang dia dan suami (Saidi).

Sejurus mendengar berita itu, Mohd Anuar yang yakin adiknya itu dipengaruhi pil kuda mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga, jam 8.28 pagi kerana bimbang keselamatan kedua ibu bapanya.

Susulan laporan diterima, Mohd Sukeri ditangkap jam 1.30 petang ketika berada di hadapan rumahnya.

0 comments:

share2