Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 31, 2015

TEMERLOH : PENDUDUK GESA SEDIAKAN BAS AWAM

Penduduk gesa sediakan bas awam



Penduduk daerah ini menggesa pihak berkuasa menyediakan pengangkutan awam untuk ke pasar besar Temerloh sekaligus menyelesaikan masalah pengangkutan khususnya kepada mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Walaupun isu yang sama pernah diutarakan sebelum ini namun sehingga kini tidak ada kemudahan awam yang menyediakan pengangkutan secara berjadual ke pasar besar Temerloh.

Seorang penduduk, Wan Sakinah Wan Ahmad berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa mencari penyelesaian kepada masalah tersebut sekurang-kurangnya satu pengangkutan awam dari Terminal Bas Temerloh ke pasar besar itu.

Menurutnya, kedudukan pasar itu yang hampir dua kilometer dari Terminal Bas Temerloh menyukarkan penduduk terutama warga emas yang berkunjung ke situ.

“Pada masa ini hanya mereka yang berkereta mampu untuk ke Pasar Besar Temerloh, ramai lagi yang mahu berkunjung ke pasar Temerloh tetapi kedudukannya agak jauh,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Salleh, 45, berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, perbincangan perlu diadakan antara Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) sama ada untuk membuka tender atau menawarkan kepada syarikat bas yang berminat.

Menurutnya, usaha itu perlu disegerakan kerana masih ramai penduduk di daerah ini yang tidak mempunyai pengangkutan sendiri.

“Saya rasa masalah kita sekarang adalah pengangkutan utama bukan sahaja ke pasar malah ke tempat-tempat tumpuan lain kerana jika berjaya diatasi akan mampu menjana ekonomi warga tempatan,” katanya.




0 comments:

share2