Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 10, 2015

ROMPIN : JANGAN HINA KAUM KAMI

‘Jangan hina kaum kami’


Kira-kira 100 masyarakat Orang Asli dari pelbagai kampung sekitar Rompin berkumpul di Bandar Baharu Kuala Rompin, di sini sebelum berarak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin untuk membuat laporan polis berkaitan dakwaan penghinaan terhadap kaum itu di laman sosial.

Tindakan itu diambil selepas mereka berang dengan ulasan beberapa individu di laman sosial Facebook yang turut menyamakan mereka dengan ‘beruk’ selepas majoriti kaum tersebut mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, Selasa lalu.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohammad Olian Abdullah, berkata, soal untuk menyokong mana-mana parti politik yang bertanding dalam pilihan raya adalah hak individu dan tidak perlu menghina masyarakat Orang Asli sedemikian rupa selepas mereka memilih BN.

Menurutnya, mereka masih kekal memberi sokongan kepada BN kerana percaya bahawa parti itu selama ini telah banyak membantu masyarakat Orang Asli dalam pelbagai aspek seperti pembangunan dan pendidikan.

“Setiap rakyat mempunyai hak dan tidak boleh dihina seperti itu sedangkan kita tinggal di negara yang berbilang kaum.

“Jadi, hari ini (semalam) kami membuat laporan polis terhadap penghinaan yang telah dibuat dan berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan supaya individu berkenaan menerima pengajaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ahli Majlis Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia, Yong Kiang Kiat, 59, berkata, penghinaan yang dibuat beberapa individu itu adalah sangat tidak bertanggungjawab dan mempunyai unsur perkauman.

“Kami kesal dengan tindakan beberapa individu itu yang menghina masyarakat Orang Asli dan harap perbuatan sama tidak lagi berlaku pada masa depan yang boleh mengeruhkan hubungan antara kaum,” katanya.

Beliau yang tinggal di Perkampungan Orang Asli Batu 8, Kuala Rompin itu menjelaskan hubungannya dengan masyarakat Melayu selama ini sangat baik dan sepakat dalam menempuh kehidupan seharian.

Dalam pada itu, Batin Kampung Tenggalong, Kota Bahagia, Majid Jaafar, 63, berkata, tindakan penghinaan sedemikian membuatkan beliau bersama kaumnya yang lain rasa tertindas sedangkan mereka mempunyai maruah.

“Tidak sepatutnya penghinaan itu berlaku kerana kita rakyat 1Malaysia. Kami juga ada maruah seperti kaum lain dan jangan hanya kerana PRK Parlimen Rompin baru-baru ini mengeruhkan hubungan kita sesama rakyat Malaysia.

“Saya menyeru kepada pihak terbabit agar mengelak berkata-kata atau membuat ulasan di media sosial seperti itu lagi dan hingga kini sebenarnya saya masih anggap semua ini tidak benar. Jika benar saya harap individu berkenaan mohon maaf secara terbuka,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Orang Asli Batu 8, Zulkifli Mahidin, 22, berkata, sebagai anak muda beliau memang tidak puas hati dengan kenyataan yang melibatkan penghinaan terhadap kaumnya.

“Kita hidup di Malaysia sebuah negara berbilang kaum dan perlu menjaga sensitiviti semua kaum itu. Jadi pihak berkuasa perlu mengambil tindakan kepada individu berkenaan supaya memberi pengajaran kepadanya dan kepada pihak lain.

“Saya juga menggesa individu berkenaan supaya memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Orang Asli seluruh Malaysia. Saya harap kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang,” katanya.

Ketua Polis daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat dan kes disiasat dibawah Seksyen233(1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 serta disiasat oleh SKMM.




1 comments:

  • Anonymous says:
    May 11, 2015 at 1:13 AM

    Amat typical dan tidak memeranjatkan golongan pak lebai dan ustaz mengeluarkan kata-kata kesat dan tuduhan bauruk keatas orang lain hanya kerana kalah dalam sebuah PRK. Orang-orang agama ini tidak hairan dengan dosa dan hukuman masuk neraka asalkan mereka puas dapat memenuhi hawa nafsu. Ini standard asuhan orang-orang agama kumpulan ini.

share2