Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 3, 2015

#PRKRompin: TURUN HARGA RUMAH BUKA GULA-GULA PRK





Penurunan harga rumah generasi kedua Felda yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, bukanlah 'gula-gula' PRK Rompin seperti didakwa pembangkang, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, berkata sebaliknya tindakan itu adalah antara usaha yang dilaksanakan kerajaan untuk menjaga kebajikan peneroka tanah rancangan itu sejak penubuhannya.

Kerajaan, katanya, sentiasa peka dan prihatin akan kehendak peneroka Felda, dan pembinaan rumah itu bagi melegakan kerunsingan anak-anak mereka untuk memiliki rumah.

Hishammuddin, yang juga Ketua Penyelaras jentera BN bagi PRK Rompin, berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta jentera BN Johor di Kg Parit Raja, Kuala Pontian, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pengumuman Najib semalam berhubung penurunan harga rumah generasi kedua Felda daripada RM125,000 kepada RM90,000 serta pembinaan sebanyak 1,504 unit rumah generasi baharu Felda di Parlimen Rompin iaitu 480 unit di Felda Selancar 4/5 , Felda Keratong 4 (264 unit), Felda Selendang 2 (360 unit) dan Felda Keratong 7 (400 unit).

Hishammuddin berkata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim dijangka mengumumkan program pembinaan projek perumahan generasi baharu Felda yang akan diperluaskan secara berperingkat.

"Kita akan perluaskan secara berperingkat tetapi apa yang penting hari ini suara generasi kedua Felda untuk memiliki rumah yang dibawa oleh calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin sebelum ini telahpun sampai kepada kerajaan," katanya.

Beliau berkata secara kebetulan, perumahan generasi kedua Felda dibangkitkan Hasan semasa kempen dalam PRK itu namun Hishammuddin percaya kerajaan dan Felda bukan melihat kepada Rompin sahaja sebaliknya kepada pembelaan generasi kedua.

"Ia merupakan kesinambungan asas perjuangan daripada zaman Allahyarham Tun Abdul Razak lagi," katanya yang turut mempersoalkan perubahan yang dibawa pembangkang di Pulau Pinang dan Kelantan kepada peneroka Felda di negeri masing-masing.

Jumaat lepas, Hasan meminta perdana menteri supaya mengkaji semula harga kira-kira 18,000 rumah generasi kedua Felda di sini berikutan harga rumah itu, antara RM120,000 hingga RM140,000 seunit, di luar kemampuan mereka.

Menyentuh mengenai persiapan terakhir menjelang hari mengundi Selasa ini, Hishammuddin berkata BN tidak memandang mudah PRK kali ini namun yakin akan memperoleh sokongan penduduk Parlimen Rompin.

PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Hasan dan calon Pas Nazri Ahmad ekoran kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Sebanyak 460 pengundi awal atau 84.4 peratus daripada 545 pengundi awal telah menjalankan tanggungjawab mereka Khamis lepas, di empat pusat pengundian dan sejumlah 52,744 lagi pengundi akan memangkah undi pada Selasa depan.

0 comments:

share2