Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 9, 2015

MENGAPA SAMPAI MEMBUNUH?



Kuala Lumpur: Kes seorang ibu tunggal beranak empat yang dibunuh oleh kekasihnya kerana sering mendesak kekasihnya untuk berkahwin, menarik perhatian ramai.

Apatah lagi kekasihnya itu adalah guru agama yang belum berkahwin dan lebih muda daripadanya.

Turut dilapor ialah kes seorang wanita yang dibunuh tunangnya dengan dicekik dan dihumban dari atas jambatan dan pada wanita itu turut terdapat nota yang menceritakan masalah dihadapinya.

Diminta mengulas terutama mengenai kes membunuh kerana diajak berkahwin, pendakwah bebas, Ustaz Halim Din, berkata dengan tidak mengambil kira beberapa faktor khusus yang tidak diketahui puncanya, secara umum kejadian mungkin disebabkan krisis emosi yang membabitkan masalah dalaman.

“Mereka kadangkala bukan tidak mempunyai iman (dalam kes guru agama), tetapi ia disebabkan dorongan nafsu amarah atau nafsu binatang (bahimiah),” katanya.

Beliau berkata, tertekan kerana kos dan belanja perkahwinan yang kian meningkat juga boleh menjadi bebanan kepada pasangan yang mahu berkahwin.

“Namun hakikatnya, jika kita kembali kepada agama, perkahwinan itu sepatutnya dipermudahkan, bukan disusahkan dengan perkara-perkara seperti hantaran yang tinggi dan sebagainya,” katanya.

Dari sudut psikologi, Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Osman Che Bakar menyifatkan tindakan membunuh berpunca daripada ketidakmampuan manusia mengawal kemarahan dan emosi.

Beliau berkata individu yang mempunyai masalah psikiatrik akan mudah marah dan membuat keputusan yang tidak masuk akal.

“Mereka ini (apabila gagal mengawal emosi marah), tidak terfikir pun bahawa tindakan mereka akan membawa mereka ke ‘tali gantung’. Inilah yang dikatakan ‘impulse control disorder’ yang bermaksud tergerak untuk membuat sesuatu perkara yang memudaratkan.

“Terdapat juga individu yang tidak tahu mengenal pasti masalah mereka dalam keadaan marah. Mereka ini gagal mengawal tekanan dan kemarahan dan inilah yang dikaitkan dengan masalah psikiatrik,” katanya.

Osman tidak menolak keadaan semasa terutama membabitkan kos sara hidup yang kian meningkat mungkin antara faktor penyumbang kepada permasalahan, namun ia bukan alasan konkrit untuk mana-mana pihak bertindak di luar jangkaan sehingga sanggup membunuh.




1 comments:

  • Jouhar Fahmi says:
    May 9, 2015 at 6:54 PM

    Teringat kisah org alim yg digoda syaitan.. memilih meminum arak, lalu dia berzina, dan akhirnya membunuh...
    Ujian kpd manusia tidak mengenal org alim, kaya, miskin..kuat atau lemah

share2