Seorang wanita menerima 10 jahitan di atas mulut selepas cedera akibat terjatuh ketika melakukan aktiviti riadah di Taman Bandar, Indera Mahkota, Sabtu lalu.
Selain kecederaan di bahagian atas mulut, wanita berkenaan yang ingin dikenali sebagai Miss Kong, 42, turut cedera di lengan kiri akibat menahan dari jatuh ketika kejadian itu berlaku yang didakwa akibat laluan joging yang tidak rata.
“Saya cuba tahan diri untuk jatuh bagi mengelak muka saya tersungkur di atas laluan yang berbatu kasar itu. Saya bernasib baik kerana lengan kiri tidak patah akibat tindakan saya menahan badan daripada tersungkur.
“Jika saya tidak menahan daripada terjatuh, saya percaya kecederaan yang dialami mungkin lebih parah terutamanya di sekitar muka,” katanya ketika ditemui di kediaman di Jalan Bukit Ubi di sini, semalam.
Kong memberitahu kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.30 petang semasa dia bersama suami mengunjungi taman berkenaan bagi melakukan aktiviti riadah.
“Pada ketika itu, saya hanya berjoging seorang diri dan suami berada di dalam kereta serta tidak mengetahui saya cedera sehingga ada individu lain membantu saya.
“Suami terkejut melihat keadaan saya dan terus membawa ke Hospital swasta bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Sementara itu, Adun Teruntum, Sim Chon Siang akan membuat aduan ini kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) supaya mereka segera membaiki kawasan yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna.
“Ini kawasan awam, sepatutnya MPK menyelia dengan baik taman rekreasi yang senantiasa digunakan orang awam.
“Saya berharap perkara sebegini tidak akan lagi berulang pada masa akan datang,” katanya.
Bilamana kawasan seperti itu yang ada pokok besar tertanam, buatlah cam mana pun akan balik menjadi tidak rata kerana pergerakan tanah yang akan sentiasa berlaku disebabkan akar pokok yang sentiasa bertambah dan membesar. Bila dah jatuh tertiarap tu ,nak salahkan tanah yg tak rata ke ,pokok ke atau diri sendiri yang cuai ?