Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 14, 2015

[KUANTAN] UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG PERTAMA TERIMA BIASISWA DARI BOSCH

YB Dato' Sri Mohd Soffi Abdul Razak menyaksikan Majlis Tandatangani Perjanjian (MoU) 
diantara pihak pengurusan UMP dan Bosch Malaysia



Kuantan, 13.5.2015 - Bosch merupakan pengeluar global teknologi dan perkhidmatan hari ini mengumumkan kerjasama dengan pihak Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi meningkatkan kemahiran pelajar dalam bidang pekerjaan yang berkualiti di Malaysia.

Bagi pihak Bosch Malaysia, ianya merupakan satu peristiwa penting buat mereka setelah pertama kalinya menawarkan Program Biasiswa dengan sebuah Universiti Tempatan di negara ini.

"UMP adalah salah satu Universiti Awam utama Malaysia terutamanya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi," kata Pengarah Urusan Bosch Malaysia, Simon Song.

"Dengan perkongsian strategik ini, kami berhasrat untuk mengiktiraf dan membangunkan individu muda berbakat, mengukuhkan pengetahuan kejuruteraan melalui bengkel dan pengalaman latihan 'On-The Job' dengan perspektif global melalui program latihan industri dengan syarikat kami," jelas beliau lagi.

Bermula Mei 2015, pihak Bosch Malaysia akan menganugerahkan dua (2) biasiswa pada satu masa untuk pelajar - pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik dan Automotif yang menjalani Program Dwi-Ijazah dengan Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) German.


YB Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abd Razak mendengar taklimat ringkas dari Pengarah Urusan Bosch Malaysia, Simon Song (dua dari kiri). Turut kelihatan, Duta German ke Malaysia HE Holger Michael.


Dalam latihan industri, Song menekankan bahawa pelajar akan menjalani penempatan latihan selama enam bulan dipusat penyelidikan dan pembangunan Bosch Car Multimedia dan Bosch Power Tools yang terletak di Pulau Pinang.

"Para pelajar yang mengikuti latihan industri itu akan dibimbing dan diberi peluang untuk bekerja bersama - sama pakar - pakar dalam bidang pilihan mereka masing - masing," katanya.

Naib Cancelor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, peluang perkongsian ini adalah salah satu contoh program yang meningkatkan kualiti taraf pendidikan bagi tenaga kerja tempatan.

"Bosch adalah sebuah syarikat dunia yang diiktiraf sebagai pemaju dalam bidang teknologi inovatif. Maka sudah pasti kerjasama dengan pemain industri global seperti ini membolehkan pelajar kita menjadi perintis terbaru dalam kemajuan teknologi, terutamanya dalam bidang teknologi kejuruteraan Automotif dan Mekatronik," kata beliau.

Turut hadir dalam sesi menandantangani perjanjian (MoU) diantara pihak pengurusan UMP dan Bosch Malaysia ialah YB Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak selaku wakil Kerajaan Negeri Pahang serta Duta German ke Malaysia, HE Holger Michael.





0 comments:

share2