Polis menahan dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Diraja Kastam sebelum menyamun mangsa mereka di sekitar daerah ini dan Terengganu sejak tiga bulan lepas.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz berkata suspek pertama berusia 29 tahun dari Felda Neram 2, Kemaman diberkas di sebuah hotel di Cherating dekat sini pada 24 April lepas manakala rakannya berusia 26 tahun, ditahan di sebuah rumah dekat Felda Neram 2, Kemaman pada 27 April lepas.
"Dalam kejadian pada 31 Mac lepas, kumpulan ini menyamar sebagai pegawai Jabatan Diraja Kastam sebelum menyamun sebuah kedai runcit di Kampung Jawa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Polis turut merampas empat telefon bimbit, dua tablet, pelbagai barang kemas, 58 kad tambah nilai, lima surat pajak gadai, pisau lipat, pisau rambo, tiga kad ATM bank dan sekeping kad kuasa Jabatan Diraja Kastam yang telah diubah
suai daripada kedua-dua suspek itu.
Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang disewa suspek, polis menemukan dua pucuk pistol tiruan, sepasang gari dan sebilah parang panjang.
"Siasatan awal mendapati kumpulan ini terlibat dalam lapan kes jenayah samun iaitu tiga di Kuantan serta lima lagi di Dungun dan Kemaman," katanya.
Suspek juga terbabit memiliki dua rekod jenayah lampau yang disiasat mengikut Seskyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan.
Mereka kini ditahan reman sehingga Isnin depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.
Menurutnya IPD Kuantan kini bekerjasama dengan polis Dungun dan Kemaman bagi mengesan seorang lagi anggota kumpulan itu yang sering menyamar sebagai anggota polis.
Abdul Aziz berkata polis juga menahan tiga anggota 'Geng Mamat' yang dipercayai aktif kegiatan pecah kenderaan di sekitar kawasan Taman Tas di sini, semalam.
Suspek pertama berusia 16 tahun ditahan kira-kira 3.30 petang semalam oleh anggota Balai Polis Jaya Gading setelah menerima maklumat daripada orang awam.
"Hasil soal siasat, remaja terbabit mengaku aktif melakukan jenayah pecah kenderaan bersama dua lagi rakannya dan menggelarkan kumpulan mereka sebagai 'Geng Mamat'.
"Berikutan itu, polis menyerbu rumah rakannya yang berusia 13 tahun di Taman Tas. Remaja itu turut menyerahkan pelbagai
jenis barangan yang diakui hasil kegiatan pecah kenderaan di sekitar kawasan itu," katanya.
Seorang lagi suspek berusia 14 tahun ditahan 45 minit kemudian di kawasan berhampiran dan mereka mengaku melakukan kegiatan itu sejak setahun lepas membabitkan 10 kenderaan.
Ujian air kencing mendapati kesemua suspek itu positif dadah.
Dalam kes berasingan, Abdul Aziz berkata polis menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang positif dadah dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
0 comments:
Post a Comment