Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 30, 2015

KUANTAN : BIMBANG PEMBALAKAN TIDAK TERKAWAL

Bimbang pembalakan tidak terkawal


Penjaga rumah ibadah menyuarakan kebimbangan apabila melihat kegiatan pembalakan di kawasannya itu semakin tidak terkawal boleh mengundang bencana alam seperti banjir lumpur.

Chen Le, 63, berkata, tidak mustahil banjir lumpur akan berlaku di kawasan Kampung Padang itu sekiranya aktiviti pembalakan tidak dibendung oleh kerajaan.

“Saya menetap di rumah ibadah ini sudah lama. Saya risau dan takut jika penebangan balak ini tidak dikawal ia boleh menyebabkan berlakunya banjir terutamanya apabila tibanya musim hujan atau tengkujuh.

“Saya amat takut jika perkara ini berlaku kerana ia akan menjejaskan kawasan penempatan rakyat di kawasan sekitar seterusnya merebak ke kawasan lain,” katanya.

Menurutnya, walaupun di kawasan ini tidak pernah berlaku banjir, namun tidak mustahil bencana alam boleh berlaku sekiranya tiada pengawalan daripada pihak kerajaan berhubung aktiviti tersebut.

Katanya, setiap kali berlakunya hujan, beliau berdepan dengan pelbagai masalah seperti kesukaran untuk keluar ke bandar kerana jalan licin disebabkan lumpur sisa daripada lori yang mengangkut balak dan bauksit di kawasan berkenaan.

Wanita itu memberitahu sejak berlakunya pembalakan di kawasan ini awal Mei lalu, suhu di kawasan di sekitar rumah ibadahnya sudah berubah berbanding sebelum itu.

“Jika dahulu, kawasan ini sangat nyaman, udaranya segar dan sejuk, tapi kini semuanya telah berubah dan saya mahu kerajaan menilai semua perkara ini.

“Kawasan ini mulai panas dan udara sudah tidak segar lagi,” katanya.

Jelasnya, kesan daripada aktiviti pembalakan itu, banyak jalan rosak dan kawasan di rumah ibadahnya turut mengalami hakisan.

“Jalan sudah banyak rosak akibat lori yang keluar masuk membawa hasil yang ditebang. Saya amat kecewa sehingga ke hari ini kerana tiada sebarang penyelenggaraan dan pembaikpulihan jalan dilakukan oleh pengusaha balak.

“Mereka ada beri jaminan untuk membaiki jalan , namun sampai ke hari ini tiada tindakan. Malah saya pula terpaksa bersusah payah menurap jalan tersebut dengan menabur batu di kawasan jalan berlubang,” katanya.

Dalam pada itu, Chen Le meminta agar kerajaan menjarakkan aktiviti perlombongan bauksit dengan tempat rumah ibadahnya sebanyak 18 meter.

“Jika kerajaan ingin mengadakan perlombongan bahan mineral itu, saya mohon agar aktiviti itu tidak dilakukan berhampiran dengan rumah ibadah saya ini kerana ia boleh mengganggu kesihatan penghuni di sini,” katanya.

Sementara itu, Adun Semambu, Lee Chean Chung berkata beliau akan cuba menyelesaikan masalah ini dalam masa terdekat lebih-lebih lagi melibatkan pencemaran alam sekitar.




0 comments:

share2