KUALA TERENGGANU, 14 Mei (Bernama) -- Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) Terengganu berpendapat desakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai tindakan tidak matang dalam berparti.
Pengerusinya Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar berkata dalam UMNO terdapat beberapa kaedah yang perlu dibuat untuk memilih pucuk pimpinan negara.
"Kita (Kelab Penyokong BN) sokong tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Desak supaya letak jawatan adalah tindakan tidak matang kerana kita dalam parti ada cara kita," katanya kepada pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuala Terengganu, Khamis.
Katanya, beliau bukan mencabar Dr Mahathir, namun sekiranya tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran Perdana Menteri hari ini, Dr Mahathir boleh menawar diri untuk bertanding pada pemilihan UMNO tahun depan.
Menurut Wan Abdul Hakim, tidak ada pemimpin yang sempurna dan masing-masing ada kelemahan termasuk ketika pemerintahan Dr Mahathir sebelum ini.
Katanya, Kelab Penyokong BN juga memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Wan Abdul Hakim berkata Ahmad Razif yang baru setahun memegang jawatan perlu diberikan ruang kerana setiap pemimpin mempunyai cara dan kaedah yang berbeza dalam corak kepimpinan.
"Rata-rata orang lupa beliau baru setahun, bagi ruang kepada beliau memimpin Terengganu, jangan bandingkan pemimpin hari ini dengan yang dulu," katanya.
0 comments:
Post a Comment