Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 7, 2015

TAK PERLU JALANI UJIAN BERKOMPUTER


Tak perlu jalani ujian berkomputer



Kuala Nerus – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan seramai 15,000 warga emas di seluruh negara termasuk masyarakat Orang Asli memiliki lesen memandu dalam tempoh setahun melalui Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang diperkenalkan jabatan itu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, program yang melibatkan peserta berusia 45 tahun ke atas itu mempunyai banyak kelonggaran sebagai syarat untuk mendapatkan lesen memandu.

"Mereka tidak perlu menjalani ujian berkomputer dan hanya perlu melalui ujian memandu.. jika boleh memandu dengan baik, mereka akan diberi kelulusan dalam tempoh satu jam," katanya.

Kata beliau, langkah itu dibuat bagi mengatasi masalah golongan yang berusia 45 tahun ke atas yang mungkin mengalami kesukaran untuk memenuhi syarat mendapat lesen kerana perlu menjalani ujian di pusat latihan memandu.

“Mungkin ada dalam kalangan mereka yang tidak pernah menggunakan komputer dan keadaan ini pastinya menyukarkan mereka untuk mendapatkan lesen kerana perlu melalui ujian berkomputer terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penutup Program SKSJ Dun Seberang Takir di Dataran Permata Seberang Takir, di sini.

Upacara perasmian disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman.

Hadir sama Pengarah JPJ Negeri Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie dan pegawai tertinggi yang lain.

Menurut Ismail lagi, melalui program yang diperkenalkan itu juga turut memperlihatkan kesan positif apabila menerima sambutan begitu memberangsangkan daripada peserta.

“Ia juga jelas memperlihatkan masyarakat semakin sedar akan perlunya memiliki lesen apabila menggunakan kenderaan di jalan raya dan dalam masa yang sama mereka dapat lebih memahami undang-undang yang perlu dipatuhi semua pihak,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Hashim Abd Rahman, 79, berkata, meskipun usianya telah lanjut, namun ia tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk memiliki lesen memandu.

“Pakcik sangat bersyukur dengan peluang yang diberikan melalui program ini dan harapan untuk miliki lesen kenderaan akhirnya tercapai.. selepas ini pakcik tidak perlu lagi bimbang ditahan pihak berkuasa.

“Sebelum ini pakcik susah dapat lesen kerana perlu jalani ujian berkomputer," katanya, yang menetap di Kampung Baru Seberang Takir.

Begitu juga dengan seorang lagi peserta, Rohaya Abu Bakar, 45 berkata, impiannya untuk memiliki lesen sejak sekian lama akhirnya terlaksana apabila terpilih sebagai peserta program itu.

0 comments:

share2