Shah Alam - Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana meliwat.
Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh berkata, Yang di-Pertuan Agong telah menolak permohonan Anwar dalam mesyuarat lembaga itu pada 16 Mac lalu.
Oleh yang demikian, Anwar hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen berdasarkan Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas). Anwar adalah anggota Parlimen Permatang Pauh.
Amarjeet Singh berkata, berikutan keputusan lembaga pengampunan itu, mahkamah telah menolak permohonan Ketua Pembangkang itu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Komisioner Jeneral Penjara yang melarangnya menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Asmabi Mohamad di dalam kamar dengan dihadiri Amarjeet Singh dan peguam Latheefa Koya yang mewakili Anwar.
Terdahulu keluarga Anwar menghantar petiysen itu berdasarkan di bawah peraturan 113, Peraturan Penjara 2000, Mengikut peraturan itu banduan jika hendak, boleh membuat petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Raja atau Yang Dipertua Negeri seberapa segera selepas sabitan.
Sebelum ini petisyen itu dibuat oleh keluarga Anwar atas faktor bahawa mereka percaya ada penyelewengan dalam sistem pengadilan ketika Anwar disabitkan dengan kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 34.
0 comments:
Post a Comment