Kathmandu - Pasukan pencari dan menyelamat masih tidak menemui sebarang petunjuk setakat ini mengenai pelancong Malaysia Dennis Lee Thian Poh yang hilang sejak 5 April lepas di kawasan Ghorepani, daerah Myagdi, kira-kira 450km barat laut Kathmandu.
Dua pasukan, satu dengan anjing pengesan dan satu lagi dengan helikopter telah dihantar ke kawasan sepanjang laluan Ghorepani-Ghandruk untuk mengesan kedudukan Dennis, kata Pengarah SAR Dogs Nepal, Jit Bahadur Masrangi.
"Mereka telah menggeledah keseluruhan laluan Ghorepani-Ghandruk tetapi tiada petunjuk ditemui," kata beliau.
[ARTIKEL BERKAITAN: Polis Nepal terus cari pendaki Malaysia hilang]
Sementara itu, Balai Polis Ghorepani telah mengeluarkan notis mengumumkan ganjaran US$500 (RM1,830) kepada sesiapa yang memberikan petunjuk pertama lokasi Dennis.
"Kami telah mengumumkan ganjaran wang tunai untuk menggalakkan penduduk tempatan membantu kami mengesan rakyat Malaysia yang hilang itu," kata Timbalan Ketua Polis Nepal Pankaj Shrestha.
Dennis, 47 yang mengembara di laluan Pokhara-Mustang dengan sekumpulan lapan rakan dari Filipina, dilihat kali terakhir di Ghorepani, 5 April lepas, kata polis.
Kumpulan itu diuruskan oleh Holiday Tibet Trekking Company, kata pengarah syarikat itu Sonam Shrepa.
0 comments:
Post a Comment