Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 4, 2015

KUANTAN: AGROBAZAAR JANJI MURAH, PRODUK SEGAR






Kewujudan AgroBazar Rakyat 1Malaysia (AgroBazar Rakyat) membantu penduduk luar bandar dan pinggir bandar memperoleh barangan segar dengan harga lebih murah antara lima hingga 20 peratus berbanding harga pasaran.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan lebih 2,000 produk barangan, iaitu 40 peratus merupakan barangan basah manakala 60 peratus lagi adalah barangan kering, Agrobazar Rakyat menjadi antara medium terbaik rakyat untuk berbelanja dengan kos yang lebih jimat.

"Umum mengetahui barang-barang di sesetengah kawasan luar bandar, harganya lebih mahal kerana kos logistik yang tinggi dan kuantiti bekalan yang rendah. AgroBazar Rakyat ini membolehkan rakyat mendapat bekalan makanan dan produk segar pada harga berpatutan sekali gus menikmati penjimatan perbelanjan harian," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap di majlis perasmian AgroBazaryat 1Malaysia yang pertama di Malaysia yang terletak di Bandar Indera Mahkota di sini yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.





Ismail Sabri berkata, AgroBazar Rakyat juga memberi faedah kepada golongan petani, penternak, nelayan dan usahawan asas tani khususnya Bumiputera, dengan menjadi platform untuk mereka memasarkan hasil keluaran tanpa khidmat orang tengah.

Mengulas pelaksanaan AgroBazar Rakyat itu, beliau berkata ia menggunakan konsep menaik taraf dan penyeragaman imej kedai kampung.

"Kita akan memberi latihan dan melaksanakan sistem pengurusan yang efisien termasuk memberi latihan pengurusan kewangan, sistem penyimpanan stok selain mengetengahkan konsep susun atur dalaman yang lebih menarik," katanya.

Peranan AgroBazar Rakyat itu juga pada masa hadapan, akan ditingkatkan sebagai penyedia perkhidmatan ejen perbankan Agro Bank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional serta pusat setempat pembayaran bil, katanya.

Ismail Sabri berkata, kementeriannya menyasarkan kewujudan 50 outlet AgroBazar Rakyat di seluruh negara pada tahun ini dan Malaysia diharapkan akan memiliki 600 premis itu menjelang tahun 2020. 

"Kementerian menggerakkan semua agensinya termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dalam menjayakan program ini bagi memastikan sektor agro makanan terus diberi keutamaan," katanya.

Sementara itu, AgroBazar Rakyat pertama itu akan mengadakan promosi sehingga 5 April dan antara yang mendapat perhatian ialah ayam yang dijual pada harga RM3.99 sekilogram berbanding harga asal RM8.30, cili merah RM6.50 sekilogram (harga asal RM10) dan daging RM23 sekilogram (harga asal RM26).

Sekilogram ikan tenggiri pula berharga RM21 (harga asal RM23), bawang merah kecil RM2.50 sekilogram (harga asal RM6) dan ikan kerisi RM8.50 sekilogram (harga asal RM11).

0 comments:

share2