Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 25, 2015

JERANTUT : BELI DIESEL TANPA PERMIT

Beli diesel tanpa permit sah


Seorang lelaki ditahan pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Jerantut kerana membeli dan menyimpan diesel tanpa permit sah dengan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda di sebuah stesen minyak Bandar Baharu Inderapura, di sini, kelmarin.

Ketua Cawangan KPDNKK Jerantut, Che Hanafi Mamat, berkata, operasi pada jam 11.15 pagi kelmarin itu disertai lima penguatkuasa KPDNKK di sini turut merampas tiga tong dram yang mengandungi minyak diesel seberat 500 liter bernilai RM975 yang baru selesai diisi lelaki terbabit.

Menurutnya, operasi itu berasaskan aduan orang ramai mengenai kegiatan lelaki itu yang membeli minyak tanpa permit sah sejak minggu lepas.

“Setelah mengintip beberapa hari, penguatkuasa di sini membuat serbuan di stesen minyak berkenaan ketika lelaki itu baru selesai mengisi diesel ke dalam tiga tong dram, manakala dia gagal menunjukkan permit membeli dan menyimpan bahan api itu.

“Kenderaan jenis Hilux dan diesel dibawa ke pejabat untuk disita, manakala kita telah menyoal siasat lelaki berkenaan sebelum dibebaskan,” katanya, di sini semalam.

Che Hanafi berkata, nilai rampasan dianggarkan RM100,000 iaitu sebuah kenderaan Hilux termasuk minyak diesel kini disimpan di stor KPDNKK di sini untuk siasatan sebelum didakwa di mahkamah.

Katanya, KPDNKK masih membuat siasatan lanjut kerana berkemungkinan ada lagi pihak yang tidak bertanggungjawab masih melanggan diesel di stesen berkenaan dan tempat lain.

“Minyak ini dijual kepada pengusaha balak dan industri yang menggunakan kenderaan berat, iaitu traktor, jentolak dan lori yang beroperasi di tapak pembinaan dan hutan daerah ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, penguatkuasa KPDNKK akan terus membuat operasi lebih kerap di beberapa lokasi daerah ini dan Lipis kerana kegiatan membeli diesel tanpa permit dilaporkan berlaku semula sejak akhir-akhir ini.

Che Hanafi turut mengingatkan pengguna diesel kalangan pengusaha balak dan industri yang menggunakan jentera berat perlu memohon permit khas daripada KPDNKK di sini dan juga pejabat yang sama di daerah lain.

Menurutnya, lelaki berkenaan akan didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan menyimpan barang kawalan tanpa permit dari KPDNKK dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda RM100,000 atau tiga tahun penjara.




0 comments:

share2