Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 24, 2015

BENTONG - PERHILITAN TANGKAP GAJAH LIAR BERKELIARAN

Perhilitan tangkap gajah liar berkeliaran


Telemong - Seekor daripada kira-kira 20 ekor gajah liar yang berkeliaran di sekitar kawasan Telemong, Felda Chemomoi dan Manchis berjaya ditangkap oleh kakitangan Jabatan Perhilitan (Perhilitan) dan penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB) Manchis, Lee Ah Kow berkata, gajah yang ditangkap dipindahkan oleh Perhilitan, Isnin lalu.

“Gajah itu berjaya ditangkap Perhilitan dengan kerjasama penduduk kampung pada Ahad lalu dan ditempatkan sementara di kawasan hutan tepi jalan menuju ke Felda Chemomoi.

“Pada pagi keesokannya barulah ia dipindahkan oleh Perhilitan ke tempat sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata, gajah terbabit merupakan tangkapan ketujuh dilakukan Perhilitan di mana pada dua tahun lalu, enam ekor gajah liar berjaya ditangkap.

“Namun, masih berbaki kira-kira 20 ekor gajah berkeliaran di kawasan ini dan penangkapan seekor gajah pada Ahad lalu tidak memberi ketenangan buat kami penduduk kampung dan pemilik kebun khususnya.

“Kami harap Perhilitan dan meneruskan untuk membuat tangkapan tersebut supaya haiwan berkenaan tidak merosakkan tanaman penduduk dan membahayakan keselamatan penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, Lee Ah Kow berkata, sebelum ini pihaknya menerima kunjungan Ahli Parlimen, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri, Khairiah Mohd Shariff.

“Saya dimaklumkan penangkapan gajah dilakukan secara berperingkat dan pagar elektrik akan dipasang sebaik kesemua gajah terbabit berjaya ditangkap,” katanya.

Menurutnya, sejak diserang kumpulan gajah terbabit, beratus batang pokok tanaman musnah, malah pekebun turut kerugian ribuan ringgit kerana terpaksa membuat penanaman semula.

“Pelbagai ikhtiar telah dilakukan termasuk memasang lampu dan mercun, malah ada antara pekebun dikatakan turut meletakkan enam biji radio bagi membisingkan suasana dan menghalau gajah terbabit namun usaha mereka tidak mendatangkan kesan kepada gajah tersebut,” katanya.

Ah Kow bagaimanapun berterima kasih kepada pihak parlimen dan Perhilitan kerana prihatin dengan masalah yang mengganggu penduduk serta pekebun kawasan terbabit.




0 comments:

share2