Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 9, 2015

ROMPIN: SURI RUMAH TAWAN DRAGON HORNS


Suri rumah tawan Dragon Horns


Tiga wanita termasuk seorang suri rumah menempa nama dalam Malaysian Book of Records sebagai kumpulan wanita pertama menawan puncak Bukit Nenek Semukut atau 'Dragon Horns' di Kampung Mukut, Pulau Tioman di sini.

NLily Mustafa, 40, Salfarina Mohd Drus, 32, dan Noor Shakinah Azni, 27, tiba di puncak bukit itu yang terletak 690 meter dari aras laut pada 12 tengah malam Sabtu, selepas mendaki selama 14 jam.

NLily yang juga ibu kepada dua orang anak berkata, kejayaan itu membuktikan kaum wanita termasuk suri rumah juga boleh terlibat dalam sukan lasak, jika mempunyai keazaman, disiplin dan komitmen dalam bidang yang diceburi.

"Saya juga bertuah dan bersyukur kerana suami Zulfakar Belian, 55, memberi sokongan sepenuhnya untuk saya terlibat dalam aktiviti mendaki batu dan tidak pernah mengeluh ketika mengikut saya mendaki.

"Malah, suami juga sudi menjadi teman latihan walaupun beliau tidak turut serta 'memanjat', jika saya tidak mempunyai kawan semasa menjalani latihan atau sekadar melepaskan gian mendaki," katanya kepada pemberita selepas menerima sijil Malaysia Book of Records di sini, malam tadi.

Sijil disampaikan Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Seri Maznah Mazlan yang juga Adun Muadzam Shah.

Lily, Salfarina dan Noor Shakinah merupakan peserta program 'Women At Height (WAT) Dragon's Horn Challenge 2015' yang dianjurkan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac, bagi membuktikan keupayaan kaum hawa dalam aktiviti sukan lasak.

Sementara itu, Salfarina yang juga atlet sukan mendaki batu berkata selaku pendaki pertama, beliau perlu memasang tali untuk digunakan NLily dan Noor Shakinah, dan 'kerja' itu menjadi semakin sukar apabila perlu mendaki pada waktu malam dengan hanya diterangi lampu kepala. 

"Beberapa kali juga saya mengalami kesukaran untuk mencangkuk tali kerana kedudukan cangkuk yang agak jauh, memandangkan keadaan fizikal saya yang agak rendah, jika dibandingkan dengan ketinggian pendaki-pendaki batu lain," katanya.

Bagaimanapun, Salfarina menyifatkan penat lelah itu 'sangat berbaloi' apabila dapat menikmati pemandangan keseluruhan Pulau Tioman daripada puncak bukit. 

Bagi Noor Shakinah yang merupakan penasihat sumber manusia di syarikat swasta berkata hanya keazaman dan kekuatan mental menjadi motivasi beliau untuk meneruskan pendakian, setelah mengalami keletihan selepas berbelas-belas jam mendaki.

"Saya paksa diri dan beritahu diri sendiri untuk teruskan kerana saya sudah sampai pada separuh jalan. Saya sangat berterima kasih pada kak Sal (Salfarina) dan kak Lily (NLily) kerana bantu saya.

"Jika dibandingkan dengan mereka, saya sangat kurang pengalaman kerana baru melibatkan diri dalam sukan ini sejak tiga tahun lepas berbanding kak Sal yang sudah 14 tahun mendaki dan kak Lily pula mempunyai penglaman selama 16 tahun," katanya.

Bukit Nenek Semukut atau digelar Dragon Horns mendapat nama kerana kelihatan seperti dua tanduk naga, ditawan kali pertama pada tahun 2000 oleh Scott C Nelson dari California, Amerika Syarikat dan Nick Tamlin dari England yang mengambil masa lima hari untuk sampai ke puncak.

Pada 2002, lima pendaki lelaki mencipta nama sebagai kumpulan pendaki pertama tiba di puncak bukit itu.

0 comments:

share2